Walau apa pun, kaedah atau perundingan sebelum sesuatu keputusan dibuat amatlah penting. Setelah kejatuhan Barisan Nasional (BN), tugas memperkasakan semula parti dipertanggungjawabkan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beban yang dipikul Ahmad Zahid tentunya lebih berat kerana beliau mengambil alih kepemimpinan dalam keadaan BN dan UMNO kehilangan kuasa. Bertambah parah apabila semua aset UMNO dibekukan.

Ada dalam kalangan pemimpin UMNO pula mempersoalkan hala tuju parti seolah-olah mereka belum jelas. Dahulu, semasa berkuasa tidak pun bertanya hal ini tetapi apabila sudah kecundang, masing-masing mempolemikkan hala tuju sebagai alasan untuk ‘melompat’.

Saya bersetuju dengan ‘sindiran’ Datuk Dr. Ibrahim Ali; mereka yang melompat parti ini diibaratkan ‘lompat beruk’. Kerana beruk melompat dari dahan ke dahan untuk mencari makan sementara ‘lompat katak’ pula bertujuan untuk bersembunyi menyelamatkan diri.

Perhimpunan Agung UMNO 2018 baru-baru ini telah menjelaskan bahawa hala tuju BN dan UMNO adalah untuk kembali berkuasa dan mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perhimpunan 2018 juga memutuskan akan menyaman wakil rakyat UMNO yang ‘lompat beruk’ dan ‘lompat katak’ kerana perlakuan ini adalah bersifat pengkhianat dan tidak amanah.

Buat ‘sehari dua’ ini, gandingan antara Ahmad Zahid dengan Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) agak serasi.
Tetapi, saya tidak pasti bagaimana hubungan mereka dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Saya sedikit keliru apabila Ku Li, selaku Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO menyatakan kerjasama UMNO-Pas tidak pernah dibincangkan secara rasmi. Hal ini perlu diperjelaskan.

Perhimpunan baru-baru ini menggambarkan para pemimpin UMNO sungguh bersemangat untuk memulihkan parti.

Bagaimana pun perlu diperingatkan, UMNO tidak akan bangkit kalau sekadar diperjuangkan semata-mata atas semangat dan retorik tanpa strategi.

Sikap para perwakilan suka mengkritik pemimpin mereka secara terbuka dan mendedahkan kelemahan dan kesilapan UMNO tidak seharusnya menjadi amalan.

Kesannya, rakyat sudah mula menjauhkan diri daripada UMNO.

Kalau tidak puas hati, bisik-bisiklah dalam ‘kelambu’ sendiri.

Kalau tidak berani, tulis saja surat layang tetapi dengan niat baik.

UMNO tidak harus ‘merangkak’ mencari kawan tetapi UMNO juga tidak boleh bersendirian. Apakah komponen BN sekarang ini sudah kembali kukuh? Mahu tidak mahu, UMNO perlu mencari rakan baharu untuk membentuk satu barisan pembangkang yang jitu.

CUCU TOK WOH

Chenor, Pahang