SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menyokong gesaan pelbagai pihak agar kerajaan Kedah segera melarang pembalakan di beberapa kawasan hutan simpan di Ulu Muda, Sik, dan mewartakan kawasan berkenaan sebagai hutan tadahan air.

Kawasan berkenaan memainkan peranan penting sebagai tempat tadahan air bagi Empangan Ahning, Pedu dan Muda yang membekalkan air minuman kepada penduduk Kedah (termasuk Langkawi), Pulau Pinang dan Perlis.

Kira-kira 96 peratus bekalan air Kedah, 80 peratus (Pulau Pinang) dan 50 peratus (Perlis) adalah dari hutan-hutan simpan berkenaan.

Skim Pengairan Muda di Kedah yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengeluaran beras Malaysia juga amat bergantung kepada sumber air dari hutan-hutan simpan di Ulu Muda.

Malangnya, kepentingan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terus diabaikan apabila kerajaan negeri terus membenarkan aktiviti pembalakan di situ.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa Jabatan Perhutanan Kedah telah mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada syarikat yang menjalankan aktiviti di situ selepas didapati melanggar syarat lesen pembalakan.

Dengan membenarkan pembalakan di Ulu Muda, peranannya sebagai kawasan tadahan air terjejas teruk dan menggugat jaminan air kerana tanpa wujudnya pokok-pokok yang berfungsi menyimpan air dan mengawal suhu persekitaran, hujan akan berkurangan serta tidak dapat ditadah dan disimpan.

Terdapat kemungkinan pembalakan akan menyebabkan berulang kejadian kemarau yang berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung pada 2016 yang telah menyebabkan penurunan mendadak paras air di Empangan Pedu dan Muda.

Kapasiti penyimpanan Empangan Muda adalah 60.3 peratus pada 1 Januari 2017 dan telah menurun kepada 27.3 peratus pada 7 Mac lalu. Situasi itu membuktikan penebangan hutan telah menyebabkan berlaku defisit air.

Berdasarkan hakikat itu, semua aktiviti pembalakan dan kuari di kawasan Ulu Muda mesti dihentikan serta-merta. Kerajaan negeri tidak harus memberikan sebarang konsesi pembalakan kepada mana-mana syarikat di situ.

Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan janji untuk membayar pampasan kepada kerajaan Kedah kerana menghentikan pembalakan di situ.

Memandangkan kepentingan hutan di situ bagi memastikan sumber air mentah sentiasa mencukupi, SAM menggesa kerajaan Kedah mewartakan keseluruhan Hutan Simpan Ulu Muda dan rizab hutan lain di sekitarnya sebagai kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Air adalah kehidupan. Selamatkan hutan!

 

SAM

Pulau Pinang