Bagi memudahkan ibu bapa melakukan persiapan bagi menghadapi sesi persekolahan baharu ini, terdapat lima keutamaan yang boleh dipertimbangkan agar anak-anak lebih bersedia menghadapi hari pertama sekolah hinggalah seterusnya

Pertama, merancang kewangan untuk menghadapi sesi persekolahan dengan lebih awal. Hal ini penting kerana pada peringat awal persekolahan, kebiasaannya komitmen kewangan yang diperlukan agak tinggi untuk tujuan membayar yuran, membeli kelengkapan persekolahan serta membeli buku-buku akademik. Sekiranya perkara ini tidak dirancang dengan awal, besar kemungkinan bajet kewangan pada bulan tersebut akan menghadapi masalah.

Kedua, menetapkan keutamaan bagi setiap keperluan persekolahan. Sekiranya masih terdapat pakaian, alat tulis dan kelengkapan sekolah lain yang masih dalam keadaan yang baik, sudah tentu boleh digunakan untuk sesi persekolahan kali ini.

Ketiga, menetapkan perancangan akademik anak-anak terutamanya mereka yang terlibat dengan peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Pastinya calon-calon peperiksaan awam ini akan menghadapi bebanan tambahan seperti menghadiri kelas tambahan sama ada anjuran pihak sekolah mahu pun sebaliknya. Oleh yang demikian, perancangan akademik seperti penyediaan buku rujukan dan jadual pembelajaran kepada anak-anak adalah langkah terbaik dalam usaha mereka sentiasa berdisiplin dan fokus kepada pelajaran.

Keempat, ibu bapa juga haruslah melakukan persediaan awal pengisian sampingan kepada anak-anak seperti kelas agama, sukan atau seni mempertahankan diri yang secara tidak langsung memberikan nilai tambah kepada anak-anak. Ini penting agar mereka lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran pendidikan yang lebih mencabar pada masa kini.

Kelima, mendidik mereka menggunakan gajet dengan betul dan berhemah terutama dari segi tempoh penggunaan agar pelajaran mereka tidak terabai. Sekiranya teknologi maklumat ini diaplikasikan dengan betul dan berkesan, saya yakin peralatan tersebut mampu untuk memberikan manfaat kepada setiap pelajar dalam pembelajaran mereka.

Kesimpulannya, ibu bapa haruslah bijak untuk merancang keutamaan yang perlu dilakukan bagi memastikan anak-anak mereka bersedia dengan lebih proaktif setiap kali sesi persekolahan bermula. Ingatlah, anak-anak merupakan saham yang tidak ternilai buat kita semua.

MOHAMAD MUHAIMIN MOHAMAD ZAKI

Universiti Sains Malaysia
 Pulau Pinang