Penguatkuasaan itu dilaksanakan setelah kerajaan sejak sekian lama mengadakan kempen kesedaran dan pelbagai program bagi menyedarkan orang ramai mengenai kesan buruk tabiat merokok. Bagaimanapun, saya berpendapat langkah menyedarkan masyarakat perlu dibuat secara berterusan.

Salah satu kaedah bagi memberi kesedaran berhubung larangan itu adalah menambah notis peringatan pada kotak rokok dengan menyatakan larangan merokok di restoran dan tempat-tempat lain.

Selama ini kotak rokok disertakan dengan gambar penyakit kronik seperti jantung, usus dan kanser yang boleh dihidapi perokok. Saya menyokong pengekalan visual tersebut namun notis peringatan larangan merokok di tempat tertentu dan jenis hukuman yang akan dikenakan iaitu denda RM10,000 atau penjara dua tahun juga perlu dicetak pada setiap kotak rokok.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu mewajibkan pengilang rokok meletakkan notis larangan berkenaan sebagai peringatan kepada perokok.

Ini bagi memastikan perokok menyedari penguatkuasaan undang-undang yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Selain itu, Kementerian Kesihatan perlu menampal poster larangan merokok di semua premis makanan di seluruh Malaysia bagi memastikan perokok menyedari penguatkuasaan menyeluruh yang telah dilaksanakan.

Bilangan pegawai penguat kuasa perlu ditambah sekiranya keadaan memerlukan. Orang ramai juga perlu bersama-sama menjayakan kempen itu dengan melaporkan kepada pihak berkuasa, individu yang masih berdegil merokok di restoran dan premis makanan.

JULLIE ARNODL

Samarahan, Sarawak