TAHNIAH saya ucapkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana melaksanakan Operasi Pemeriksaan Lesen Anjing Peliharaan baru-baru ini tetapi tidak mengejutkan bila hanya tiga daripada 32 premis yang diperiksa mempunyai lesen.

Walaupun ada undang-undang dan peraturan mengenai pemeliharaan anjing di Selangor, jelas sekali tiada penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa tempatan melihatkan pertambahan mendadak pemelihara anjing dan juga peningkatan anjing liar.

Jika dahulu jarang sekali dapat melihat orang membawa anjing mereka berjalan ‘melepaskan hajat’, kini aktiviti itu menjadi pemandangan biasa pada waktu petang atau malam.

Kawasan perumahan saya yang majoritinya orang Islam juga berdepan situasi sama khususnya pemilik anjing membiarkan anjing mereka berak di merata tempat tanpa najisnya dikutip malah ada dibiarkan kencing pada pokok atau bunga yang kami tanam.

Saya tidak pasti sama ada Majlis Perbandaran Selayang tiada peruntukan undang-undang serupa dengan MPK dalam hal ini ataupun tidak peduli tentang anjing peliharaan dan anjing liar di kawasan penempatan Islam.

Sudah tidak larat rasanya mahu mengadu berkenaan lambakan anjing khususnya anjing liar yang dibuang tuannya di kawasan perumahan saya ini.

Jika boleh, saya harap pertubuhan perlindungan haiwan seperti Persatuan Mencegah Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA) dapat datang menangkap anjing liar tersebut di samping memberi nasihat kepada pemilik anjing agar menjaga kebersihan.

Bukannya mahu menghalang mereka membela anjing tetapi biarlah berpada, jangan dibiar kencing berak sesuka hati sedangkan anda tahu haiwan itu haram bagi umat Islam.

Janganlah sampai ada bermasam muka atau bertindak balas disebabkan seekor haiwan yang dibela untuk menjadi teman bermanja.

RAHMAN SALLEH

Taman Seri Gombak, Selangor