Dahulu Pakatan Harapan begitu galak mengutuk orang Pas mengutip derma daripada penyokong dengan pelbagai label dan nama menghina tetapi nampaknya mereka buat pusingan U lagi dan ikut cara serupa.

Sebenarnya rakyat yang berilmu tidak akan menderma kepada THM kerana mereka akan faham maksud ‘hutang negara’ itu sendiri.

Ini umpama menggalakkan kerajaan berbelanja sesuka hati, rakyat pula perlu bayar dari poket sendiri.

Sudahlah gaji wakil rakyat dibayar menggunakan duit hasil negara (duit rakyat juga), sekarang belanja mereka pun rakyat perlu tampung?

Tidak kiralah kerajaan dahulu atau sekarang, kenapa sibuk mahu jadi pemerintah jika hutang negara pun minta rakyat bayarkan?

Jika suami yang buat begitu kepada isteri dikira dayus, bagaimana pula pemimpin buat perkara sama kepada rakyat?

Baru beberapa minggu memerintah, anggota Kabinet lebih banyak buat sidang akhbar daripada buat kerja.

Kasihan Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa didik menteri-menteri hingusan buat kerja, sepatutnya dari awal lagi sudah belajar mentadbir bukannya menyusahkan Dr. Mahathir dan rakyat.

Harap Perdana Menteri akan rombak Kabinet tidak lama lagi, kasihan beliau terpaksa pantau semua benda pada usia hampir 93 tahun.

ABU BAKAR

Kota Bharu, Kelantan