Saya yakin kegembiraan ini juga dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Ini amat bertepatan dalam saat rakyat yang gelisah dengan desas-desus kononnya ada pertembungan antara Dr. Mahathir dan Anwar.

Apatah lagi rakyat kini sedang bergelut dengan kos sara hidup yang masih dalam proses penyelesaiannya.

Kenyataan penegasan semula Dr. Mahathir bagi memenuhi janji tersebut, membuktikan sikap beliau sebagai negarawan ulung serta pemimpin sejati yang hebat.

Ia juga amat selaras dengan kehendak rakyat yang mahu hubungan politik simbiotik yang sihat antara beliau dan Anwar sewaktu memberikan sokongan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kenyataan Muhyiddin pula memperingatkan kekecewaan rakyat jika janji tersebut tidak dipenuhi sekali gus memberikan kesan negatif kepada kestabilan politik, ekonomi, ketenteraman awam serta prestasi Pakatan Harapan dalam PRU-15 akan datang.

Hubungan politik simbiotik yang sihat antara Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Ketujuh bersama Anwar selaku Perdana Menteri Kelapan amatlah penting dalam memacu kesejahteraan dan kemakmuran negara sekali gus meneruskan kegemilangan Malaysia di persada antarabangsa.

Bersama kita mendukung kepemimpinan berhikmah kedua-dua tokoh ini dalam menjamin kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara. Selamat Tahun Baharu 2019.

MUSTAFFA KAMIL AYUB

Naib Presiden Keadilan 2004-2010