Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Lebuh raya bertaraf dunia?

Lebuh Raya Utara Selatan
Lebuh Raya Utara Selatan

SAUDARA PENGARANG,

SEMALAM seorang pembaca Forum Utusan Malaysia bernama ANAK MAT ZAIN berkongsi pengalaman ‘harta benda’ bertaburan di atas jalan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya laluan Rawang ke Jalan Duta.

Selain serpihan tayar celup lori, terdapat juga bongkah kayu atau kayu-kayu kecil, kasut, skirting bumper kereta, batu-batu kerikil, serpihan tar, gumpalan kain, kertas, kepingan besi, tong air dan tidak ketinggalan, bangkai haiwan yang mati dilanggar.

Jika sekadar menyakitkan mata, tidak menjadi isu besar pun tetapi menjadi situasi berbahaya apabila pelbagai serpihan objek ini berada di tengah lebuh raya.

Seperti pembaca tersebut, saya juga tertanya-tanya ke mana menghilangnya perkhidmatan PLUSRonda yang dahulu sentiasa kelihatan sekurang-kurangnya sekali sehari meronda.

Adakah bilangan peronda sudah dikurangkan atau mereka hanya standby di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), mungkin disebabkan harga minyak sudah naik?

Namun, masalah ini bukan terhad kepada lebuh raya PLUS malahan hampir semua lebuh raya bertol mempunyai masalah sama.

Rata-rata pihak konsesi sudah membiasakan diri menunggu aduan pengguna baru mahu bertindak bukan sahaja dalam isu segera seperti serpihan objek di lebuh raya malah isu jangka panjang seperti air bertakung, jalan tidak rata, selekoh tajam dan tiada penghadang jalan.

Banyak kemalangan di lebuh raya berlaku disebabkan kenderaan dipandu laju tetapi banyak pihak terlepas pandang pelbagai faktor sampingan seperti serpihan objek, jalan licin disebabkan air bertakung malah pembahagi atau penghadang jalan tidak dapat menghalang kereta terbabas ke tepi lebuh raya.

Ini belum mengambil kira kes jenayah seperti penipuan lori tunda mahupun kes rompakan di R&R di samping tabiat kenderaan berat memandu di lorong kanan sementara motosikal masuk dan keluar lebuh raya secara melawan arus yang mungkin berada di luar bidang kuasa pihak konsesi.

Jika mahu diadukan segala masalah di lebuh raya negara ini tidak akan muat dalam sebuah buku setebal 300 muka surat, cukuplah bagi pihak konsesi mengutamakan isu yang boleh mengancam nyawa pemandu.

Serpihan objek di lebuh raya memerlukan tindakan segera bagi mengelak kemalangan maut sementara isu jalan berlopak, air bertakung, selekoh tajam dan lain-lain memerlukan penyelesaian jangka panjang.

Bagi sesetengah orang isunya sekadar hak pengguna lebuh raya selepas membayar tol tetapi isu lebih besar adalah kesungguhan pihak konsesi menyelenggara lebuh raya sejajar dengan kadar tol semasa atau kenaikan ‘mengikut kontrak’ konsesi.

Seperti yang ANAK MAT ZAIN katakan, pengguna lebuh raya tidak mahu pelbagai statistik sebagai maklum balas daripada mana-mana syarikat konsesi sebaliknya tindakan nyata dan konkrit dalam mengatasi masalah-masalah dihadapi pemandu.

Perlu diingat, pengguna berhak menyaman pihak konsesi jika berlaku kemalangan disebabkan kecuaian pihak pengurusan dalam menyelenggara kemudahan di lebuh raya.

Jangan disebabkan orang Malaysia tidak gemar saman-menyaman maka penyelenggaraan dibuat ala kadar sahaja sehingga ada nyawa melayang. Sekali saman boleh muflis sesebuah konsesi jika terbukti mengabaikan faktor keselamatan.

Bagi saya PLUS selama ini telah memberikan perkhidmatan cukup baik tetapi mungkin sejak kebelakangan ini ada beberapa kesilapan dikesan pengguna lebuh raya.

Saya lebih bimbang tentang pihak konsesi lebuh raya baharu khususnya di sekitar Kuala Lumpur yang berdepan pelbagai isu khususnya keselamatan pengguna berdasarkan rekod kemalangan terkini.

Apa pun, saya harap pihak kementerian dan agensi berwajib juga tidak lepas pandang dan janganlah membiarkan pihak konsesi menguruskan segalanya. Ingatlah, kemalangan di lebuh raya biasanya kemalangan maut!

ADIK MANJA

Shah Alam, Selangor

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain