Mengapa dan kenapa pula terpaksa berikan notis lanjutan selama enam bulan untuk kuatkuasakan peraturan ini dan hanya mengeluarkan surat amaran terlebih dahulu sehingga tamat tempoh setengah tahun itu?

Sepatutnya sekarang diwar-warkan di dalam media seperti rangkaian televisyen dan radio serta akhbar-akhbar di samping iklan notis amaran di kawasan-kawasan tumpuan awam dan bukannya pada 1 Januari baru mula sebarkan amaran.

Orang ramai sudah tidak tahan dengan asap rokok terutama sekali di restoran terbuka dan begitu juga di kawasan tumpuan ramai seperti stesen bas atau di kawasan hadapan pusat membeli-belah.

Ianya sangat mengganggu orang ramai dengan keadaan yang tidak selesa dan juga boleh menjejaskan kesihatan terutama sekali kepada kanak-kanak, warga emas dan wanita mengandung.

Di harap Kementerian Kesihatan ambil perhatian dan mengambil tindakan tegas supaya larangan merokok bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kenakan denda serta-merta bermula 1 Januari 2019 dan jangan ditangguh lagi.

Jangan ada kompromi dalam menjaga kesihatan rakyat supaya kami hidup tanpa asap rokok yang boleh menyebabkan rosaknya paru-paru, kanser atau punca pelbagai penyakit kronik lain.

Dicadangkan juga supaya harga rokok dinaikkan berlipat kali ganda sementara kandungan nikotin hendaklah dikurangkan supaya dapat mengurangkan ketagihan melampau perokok tegar.

Dalam masa yang sama, pastikan dibenteras penyeludupan rokok haram dari negara jiran kerana didapati rokok seludup sangat mudah dibeli di pasaran dan ada kedai runcit masih lagi menjual rokok seludup ini.

Nampaknya ada yang tidak kena dengan laluan sempadan kita kerana masih boleh dibolosi dengan mudah. Kita hendaklah serius apabila membuat penguatkuasaan agar ia benar-benar dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berjaya, bukannya secara bermusim atau melepas batuk ditangga sahaja.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan Seremban