Bagi saya mesej menteri terbabit amat jelas yang mana keutamaan perlu diberikan kepada masyarakat awam yang majoritinya tidak merokok. Oleh itu saya amat menyokong kenyataan menteri ini dan langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan berhubung isu tersebut.

Saya amat berharap, kerajaan menguatkuasakan sahaja larangan merokok tersebut di tempat-tempat awam khususnya restoran serta kedai makan bermula 1 Januari tahun depan tanpa teragak-agak. Jangan dihiraukan tuntutan tiga persatuan yang mewakili 20,000 pemilik kedai yang tidak berpuas hati dengan peraturan tersebut atas memelihara kepentingan umum.

Saya sendiri benci terhadap mana-mana pengunjung restoran yang menghisap rokok selepas makan. Ini kerana asap rokok yang berkepul-kepul itu menyesakkan pengunjung lain yang berdekatan. Lebih malang lagi jika pengunjung lain terlibat membawa bersama kanak-kanak dan bayi.

Bagi saya mereka yang merokok di restoran ini adalah dalam kalangan mereka yang terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka langsung tidak menghiraukan keselesaan orang lain. Yang penting mereka dapat menghisap rokok tanpa sebarang gangguan.

Diharap bermula 1 Januari tahun depan, peraturan larangan ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya. Kerahkan pihak penguat kuasa untuk jalankan operasi. Jika ada yang berdegil kenakan kompaun yang sewajarnya, Jika enggan bayar kompaun heret mereka ini ke muka pengadilan. Biar mahkamah tentukan bentuk hukuman lebih sesuai.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah