Kesannya, kini persekitaran premis makanan telah bebas daripada asap rokok dan pelanggan yang tidak merokok dapat menikmati makanan bersama keluarga mereka dengan selesa tanpa gangguan.

Melihat kepada perkembangan itu, ada satu lagi kawasan yang saya rasakan perlu akan larangan merokok dikuatkuasakan juga, iaitu di tandas awam.

Seperti yang kita tahu, tandas awam adalah kemudahan yang digunakan oleh orang ramai secara bergilir-gilir dalam istilah lain, berkongsi.

Adalah amat menjengkelkan apabila tibanya giliran kita untuk menggunakan kemudahan tersebut, hidung diserbu bau dan asap rokok yang berkumpul di dalamnya.

Mahu tidak mahu ‘hajat’ tetap perlu diteruskan dalam keadaan tersebut dan sering kali kita perlu menahan nafas atau sekurang-kurangnya menutup hidung menggunakan baju, ia sungguh tidak selesa.

Bagi mereka yang merasakan ‘nikmat’ merokok semasa melepaskan ‘hajat’ di tandas awam, ingat-ingatlah orang sebelah atau yang kemudian akan menggunakannya, jenuh menahan nafas.

Jika anda mahu berbuat demikian di rumah sendiri terpulanglah, mahu ‘menyimpan’ asap rokok berkepul-kepul di tandas anda silakan, tapi usahlah di tandas awam.

SESAK NAFAS

Kuala Lumpur