BARU-BARU ini seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN) di Selangor mendakwa ada cubaan untuk menipu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan menggunakan jari palsu yang diimport dari China yang kemudiannya menjadi tular dalam laman sosial.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya telah memberikan penjelasan bahawa sumber berita itu adalah daripada media sosial di Jepun mengenai dakwaan penipuan dalam pilihan raya Indonesia dan kemudiannya dicedok oleh ‘orang sakit’ di Malaysia.

Bagi saya penjelasan SPR adalah tidak mencukupi dan seharusnya disusuli dengan laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tindakan tegas perlu dikenakan dan kerajaan tidak boleh membiarkan orang politik bermain kotor dengan menyebarkan fitnah yang kemungkinan besar telah mempengaruhi fikiran banyak rakyat Malaysia bahawa PRU di negara ini dilaksanakan secara tidak telus.

Saya juga berpendapat SPR tidak wajar menjawab tuduhan itu secara bersahaja dan menganggap fitnah yang ditimbulkan sebagai isu biasa. Suruhanjaya itu perlu tegas dan memberikan jawapan dengan nada lebih serius kerana tohmahan berkenaan telah menjejaskan kredibiliti SPR.

Tuduhan itu sama berat dakwaan 40,000 pengundi hantu telah dibawa masuk ke negara ini yang kemudiannya dianggap sebagai satu fakta oleh pihak tertentu di Eropah sehingga mereka membuat kesimpulan pilihan raya di Malaysia tidak telus.

Barisan Nasional (BN) juga perlu bertindak balas dengan segera kerana pihak pembangkang sengaja membuat pembohongan bagi menjejaskan imej parti pemerintah yang jika dibiarkan boleh menyebabkan pengundi percaya dengan tohmahan berkenaan.

Dedahkan segala pembohongan pihak pembangkang. BN jangan takut dan bersikap terlalu beradab.

BADRUDDIN

Kuala Lumpur