Kedudukan dan Keistimewaan Undang selaku Raja di Luak adalah diiktiraf dalam Perkara 71(1), Perkara 160(2) dan Perkara 181 (3) Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Antara yang terpenting dalam perlembagaan itu termasuk kuasa mutlak memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh empat Datuk Undang iaitu Undang Luak Rembau, Undang Sungai Ujong, Undang Johol dan Undang Jelebu sendiri.

Kenapa mengambil masa sampai tiga tahun untuk mengisi jawatan penting ini?

Proses pemilihan calon telah dibuat dan ditapis dalam tiga peringkat daripada jumlah 25 calon kepada tiga calon terakhir sebelum boleh mengisytiharkan seorang calon yang layak dan terbaik dipilih.

Mengikut adatnya, jawatan Undang perlu diisi dalam tempoh tiga bulan. Kini selepas tiga tahun tanpa alasan konkrit, mantan Datuk Menteri sah Mangku Alam Raja Sahari, Mat Tarmizi Selamat dipecat oleh anak-anak buahnya kerana kelewatan ini.

Pada waktu yang sama, Datuk-Datuk Lembaga Delapan (Tiang Balai), hampir berpecah dan kini kembali bertaut.

Perlu diingatkan pelantikan Datuk-Datuk Lembaga adalah satu amanah yang diberi mandat oleh anak-anak buah agar segala permasalahan diselesaikan secara telus dan bermaruah atas tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Jika gagal, ia satu kelemahan kerana kurang dihayati sedangkan peraturan adat itu baik dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi.

Jadi, janganlah disalahgunakan kuasa dengan jawatan yang diamanahkan.

Bukan hendak campur tangan, namun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah menasihatkan jangan terlalu lama memilih Undang Luak Jelebu.

“Buatlah secara terbaik. Kerajaan negeri hanya menunggu keputusan itu dibuat,” katanya dua tahun lalu.

Atas sifat terbuka dan tidak campur tangan, maka Dewan Keadilan dan Undang kini menyerahkan kembali kepada Luak Jelebu untuk menyelesaikan secara terbaik mengikut adat yang diguna pakai selama ini.

Dengan usaha terbaharu ini serta nasihat yang diberikan oleh Jawatankuasa Kerajaan yang mewakili Dewan Keadilan, lambat laun jawatan Datuk Undang Jelebu dapat dijelmakan.

Adalah menjadi harapan bakal penyandang Undang Luak Jelebu mengembalikan semula imej yang lebih baik, sempurna dan amanah.

Ini termasuk perlu enakmen baharu iaitu peraturan secara bertulis dikanunkan.

Untuk kesempurnaan proses ini, Datuk Menteri yang baharu akan dilantik. Ia adalah jawatan terkanan sebagai Pemangku Undang Jelebu yang mempunyai kuasa ‘mencabut’ dan mengisytiharkan Undang Jelebu Ke-16 daripada senarai calon yang ada.

Nama Ibrahim Harun, 62, mendapat sokongan majoriti anak-anak buahnya daripada enam calon yang memohon jawatan tersebut.

Ibrahim adalah mantan Pegawai Pertanian RISDA dan dilihat sebagai seorang tokoh yang aktif dengan badan bukan kerajaan, Persatuan Sejarah dan terlibat dalam majlis adat istiadat di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Datuk Shahbandar, Mohd Rathi Shamsuddin yang mengetuai lapan Datuk-Datuk Kurnia berharap proses seterusnya akan berjalan lancar selepas terganggu begitu lama.

“Kerana ketiadaan Datuk Undanglah, dalam beberapa hal terpaksa dirujuk kepada pihak Dewan Keadilan,” ujarnya.

Harapan beliau dengan adanya Datuk Menteri yang baharu, proses pelantikan Undang akan berjalan mengikut adat.

Beliau membayangkan sudah hampir tiga kali hari sambutan Keputeraan Yang Dipertuan Besar pada setiap Januari tanpa kehadiran Undang Jelebu.

“Tentulah tidak sempurna,” ujar beliau.

WARIS UNDANG JELEBU

Negeri Sembilan