Kedua-dua bekas Datuk Menteri ini sebenarnya telah lama menyandang jawatan itu tetapi mengambil masa yang panjang dan mencemarkan adat dalam isu melantik Undang Luak Jelebu ke-16 sejak penyandang jawatan itu, Allahyarham Musa Abd. Wahab meninggal dunia pada 11 September 2014.

Sehari selepas kematian Musa, Mat Tarmizi telah mendapat watikah rasmi sebagai Pemangku Undang Luak Jelebu daripada Datuk Lembaga yang kanan, Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela, Kadim Kidam.

Namun kelewatan Mat Tarmizi bertindak memproses pemilihan Undang Luak Jelebu telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dan akhirnya beliau dipecat oleh Buapak yang dilantiknya, Azemi 
Abdul Aziz dari Perut Teriang Tengah.

Bagaimanapun, Mat Tarmizi telah memecat semula Azemi dan melantik Buapak yang baharu, Abdul Manaf Abu Samah. Namun Azemi mempertahankan kedudukannya lalu mengambil langkah lain dengan menyokong Ismail sebagai Datuk Menteri dari Perut Durian Daun.

Kekuatan Ismail pula mendapat sokongan daripada seorang lagi Buapak waris Datuk Menteri, Mohd. Nor Yaakob dari Perut Maribong/Sepam. Namun Mat Tarmizi mendakwa sebahagian daripada anak-anak buah Maribong/Sepam menyokongnya. Ini bermakna, anak-anak buah bekas Datuk Menteri telah berpecah sekali gus menimbulkan persoalan mengapa ia tidak disatukan.

Oleh kerana itu, tidak timbul pertikaian mengenai pelantikan Ibrahim sebagai Datuk Menteri baharu yang jelas telah mendapat sokongan padu daripada anak-anak buah Perut Mengkan pada hari pemasyhurannya minggu lalu. Pelantikan Ibrahim hanya berpandukan kepada giliran `pesaka bergilir’.

Sungguhpun Ismail sudah mendapat perakuan sebagai Datuk Menteri selama hampir dua tahun daripada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, ia tidak memberi sebarang makna memandangkan beliau sudah tiga kali melakukan kesalahan adat dengan mengumumkan dan mengisytiharkan Maarof Mat Rashad, 63, sebagai Undang Luak Jelebu baru-baru ini. Ia adalah tindakan bertentangan dengan aturan adat dan tidak dapat diterima oleh dewan tersebut.

Jadi di mana peranan Buapak waris Datuk Menteri membiarkan Ismail terus mengambil tindakan salah di luar lunas-lunas adat? Bolehkah Buapak ini terus diterima oleh anak buah masing-masing menerajui Perut mereka yang mempunyai kedudukan penting dalam pelantikan Undang Luak Jelebu?

Terbaharu, para Buapak bekas Datuk Menteri mendakwa waris Menteri Perut Mengkan telah dilucutkan atau istilah adatnya, `dibenam’ kerana pelantikan Ibrahim sebagai Datuk Menteri.

Nampak sangat kelemahan sebahagian besar Buapak bekas Datuk Menteri. Mereka bukan mahu membina semangat kesepakatan dan integriti tetapi lebih kepada mencabul kehormatan adat. Jangan cepat salahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri.

Ingat kata-kata hikmah pendakwah Datuk Ismail Kamus: “Kita harus membetulkan yang biasa dan biasakan yang betul.”

WARIS UNDANG JELEBU
Negeri Sembilan