Rancangan kerajaan untuk menambah baik dan menyelenggara Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) amat bertepatan bagi mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

Dilaporkan projek yang bakal bermula pada 14 Jun itu akan membabitkan 6,697 sekolah dan menelan belanja RM300 juta di bawah pelaksanaan Projek Penambahbaikan dan Penyenggaraan Sekolah Menggunakan Peruntukan Tabung Khas (PPKHAS) 2017.

Sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), saya menyambut baik rancangan kerajaan ini dalam usaha memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat dan sihat.

Saya difahamkan, antara kerja-kerja yang akan dilaksanakan adalah penambahbaikan sistem pendawaian elektrik, peralatan pencegahan kebakaran dan pagar serta rawatan anai-anai.

Untuk makluman, NIOSH sering menekankan aspek keselamatan dan kesihatan di sekolah memandangkan sekolah sebagai tempat kerja yang juga tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Tujuan akta tersebut adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, melindungi mereka di tempat kerja dan mengadakan persekitaran kerja yang sesuai dengan kehendak psikologi serta fisiologi pekerja.

Di sekolah, pekerja merangkumi guru, pentadbir dan kakitangan sokongan manakala mereka yang berada dalam kawasan tempat kerja pula merujuk kepada pelajar, kontraktor dan pelawat termasuk ibu bapa. Pengurusan sekolah dan Jabatan Pendidikan pula dianggap sebagai majikan.

Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, NIOSH telah melancarkan program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Sekolah atau OSH in School pada tahun 2015 dan sehingga kini telah membabitkan lebih 50 buah sekolah.

Fokus utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang aspek KKP dalam kalangan pelajar serta guru agar mereka dapat mengenal pasti risiko dan bahaya yang boleh berlaku. Program ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada warga sekolah untuk mengambil tindakan segera jika berlaku kemalangan.

Melalui pendidikan KKP juga, setiap sekolah akan lebih bersedia apabila berdepan kes-kes kecemasan yang mungkin berlaku.

Ketika melancarkan seminar KKP di Sekolah untuk daerah Serian baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot turut melahirkan kebimbangan beliau mengenai tahap keselamatan di sekolah-sekolah di Sarawak kerana kira-kira 70 peratus daripadanya berada dalam keadaan uzur.

Saya juga berharap kerajaan akan mengambil kira syor yang dibuat NIOSH supaya audit menyeluruh diadakan dengan lebih kerap di sekolah-sekolah terutamanya yang berusia lebih 20 tahun.

Audit berkenaan harus membabitkan struktur bangunan dan infrastruktur asas termasuk makmal, kantin serta padang bagi mengelakkan kemalangan di sekolah seperti yang sering dilaporkan oleh pihak media. Kemalangan tersebut bukan sahaja melibatkan pelajar tetapi juga guru dan kakitangan sekolah, yang mengalami kecederaan atau terbunuh.

Sebagai contoh, kes-kes seperti runtuhan bumbung sekolah dan pondok gazebo serta kebakaran asrama pelajar sering dilaporkan setiap tahun manakala dalam bulan Julai tahun lepas, seorang pelajar maut apabila ditimpa tiang gol hoki di sebuah sekolah menengah di Gua Musang.

Kes-kes begini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan kepada pihak kerajaan, bahkan menimbulkan kerisauan ibu bapa dan penjaga mengenai keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka di sekolah.

Sebagai majikan, kerajaan bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat di sekolah demi kebajikan guru, kakitangan sekolah dan pelajar yang mana mereka adalah aset sangat berharga dalam memenuhi impian Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi NIOSH