MERUJUK kepada artikel diterbitkan Utusan Malaysia pada 19 Julai 2016 lalu yang memetik kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa bank meningkatkan ciri keselamatan pada kad kredit bagi mengelakkan kes penipuan terus berleluasa.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) sentiasa bekerjasama dengan ahli kami dalam mengambil langkah mengurangkan risiko penipuan kad kredit.

Pada masa ini di Malaysia, majoriti kad kredit yang diedarkan adalah kad berciri tandatangan iaitu pemegang kad perlu menandatangani resit pembayaran bagi mengesahkan identiti mereka ketika menggunakan kad untuk membayar pada waktu urus niaga jual beli.

Pihak bank telah memulakan satu inisiatif yang melibatkan seluruh industri untuk berpindah daripada tandatangan kepada nombor pengenalan peribadi (PIN) sebagai cara pengesahan pelanggan ketika menggunakan kad di terminal tempat jualan (POS) dalam negeri.

PIN adalah kod rahsia yang sama ada diberikan atau dipilih oleh pemegang kad bagi membuktikan mereka adalah pemilik sah kad pembayaran tersebut. Nombor PIN bagi kad di Malaysia mengandungi enam digit dan mestilah sentiasa dirahsiakan dan tidak ditulis di mana-mana.

Sebab utama perubahan ini adalah untuk menyelaraskan Malaysia dengan amalan terbaik global bagi penggunaan kad serta memperbaiki keselamatan kad di kedua-dua terminal di peringkat tempatan dan luar negara yang ada penggunaan PIN.

Langkah ini akan membantu mengurangkan penipuan dan meningkatkan keyakinan pelanggan ketika menggunakan kad pembayaran.

Dengan pengenalan kad dengan PIN ini, penipuan disebabkan oleh kehilangan atau kecurian kad akan menurun kerana kedua-dua kad dan PIN adalah diperlukan ketika membuat pembayaran. Mulai 1 Julai 2017, penggunaan kad dengan tandatangan tidak lagi boleh digunakan di Malaysia.

Kad bertandatangan akan diganti dengan kad baharu yang mengandungi PIN dan semua terminal akan dikemas kini bagi membolehkan penggunaan PIN pada penghujung 2016. Terminal yang telah dikemas kini boleh dikenal pasti dengan mudah melalui logo “PIN & BAYAR”.

Pemegang kad kredit akan menerima kad baharu yang mengandungi PIN melalui pos. Mereka perlu mengaktifkan kad PIN tersebut dan memilih enam digit PIN kerana kad tandatangan mereka tidak lagi boleh digunakan tiga bulan selepas pengesahan penerimaan kad kredit baharu.

Bagi pemegang kad debit pula, pengeluar kad akan menghantar kad PIN tersebut atau pemegang akan dihubungi oleh pengeluar kad untuk pergi ke cawangan bank berdekatan bagi menukar kad mereka.

Pemegang kad dinasihatkan untuk mengaktifkan kad baharu mereka dengan serta merta kerana kad debit lama mungkin tidak boleh digunakan selepas tempoh tertentu.

Bagi pemegang kad yang telah menerima kad PIN baharu mereka dan merancang untuk ke luar negara, mereka perlu memastikan yang mereka tahu dan boleh menggunakan PIN mereka bila diminta untuk memasukkan PIN. Ada terdapat beberapa peniaga luar negara yang tidak membenarkan kad PIN digunakan sekiranya pelanggan tidak dapat memasukkan PIN.

Akhir kata, kami mengambil maklum cadangan supaya digunakan kaedah pengesahan biometrik contohnya sistem cap jari bagi mengesahkan identiti pengguna kad. Setakat ini, walaupun terdapat cubaan dan bukti konsep ujian yang terhad, tidak terdapat satu standard pengeluaran global bagi pengesahan biometrik untuk identiti bagi urus niaga kad pembayaran.

Standard global pada masa kini hanya membenarkan untuk penggunaan PIN atau tandatangan sahaja sebagai cara pengesahan pemegang kad pada waktu urus niaga jual beli.

Dijangkakan kaedah biometrik akan menjadi berdaya maju apabila industri memindahkan pelanggan daripada kad plastik ke peranti peribadi seperti telefon bimbit yang boleh membuat pembayaran. Adalah penting bagi sistem pembayaran di Malaysia untuk meneruskan pelaksanaan dan mematuhi standard pembayaran global bagi memastikan yang kami kekal saling beroperasi dengan seluruh dunia.

Pelaksanaan penyelesaian bercorak domestik sahaja akan menghasilkan kos lebih tinggi untuk pengguna Malaysia bagi produk pembayaran yang hanya berfungsi dalam Malaysia tetapi tidak boleh digunakan dalam pasaran luar negara.

CHUAH MEI LIN

Pengarah Eksekutif ABM