Lambakan graduan yang tidak menyerlah menjadi tajuk salah satu kolum di sebuah media baru-baru ini.

Intipati kepada penulisan tersebut menunjukkan berlakunya lambakan graduan tidak memenuhi permintaan pekerjaan, berlakunya pengubahan dan penipuan gred oleh beberapa IPT dan pelajar lulus pengajian tetapi tidak memenuhi realiti kehidupan.

Sungguh pun banyak telah ditulis dan diutarakan di dalam media terutamanya namun tiada kesungguhan oleh pihak terlibat untuk mengatasi dan menyelesaikan permasalahan ini.

Pihak berkepentingan hanya mementingkan status dan kedudukan, tidak mahu dilihat sebagai ‘gagal’ dalam mentadbir dan mengurus perjalanan program dan sanggup mengenepikan nilai etika semata-mata untuk menaikkan ego kehebatan masing-masing.

Bagi para pengajar atau pendidik, kebanyakan yang mengutarakan permasalahan ini di IPT akan diambil tindakan kerana ‘tidak menurut perintah atau arahan’ dengan alasan ia merupakan sesuatu yang dikategorikan ‘sulit dan rahsia’.

Kebanyakannya pulak akan di labelkan sebagai tidak berpengetahuan, mahir dan kompeten serta tidak bekerjasama dalam membina item soalan, panduan peraturan pemarkahan dan ‘rubrik.

Bagi IPT, semuanya bermula dari arahan pihak atasan induk atau pusat.

Arahan biasanya menghendaki pengajar mengikut dan menggunakan kurikulum yang telah disediakan dan diberikan melalui pro-forma atau rancangan mengajar kursus. Pro-forma atau rancangan mengajar kursus biasanya diluluskan oleh pihak MQA.

Ada IPT menyediakan modul atau nota bahan kursus sebagai panduan untuk pengajar, tetapi kebanyakannya perlu disediakan oleh pengajar sendiri. Hasrat induk lebih merupakan memberi arahan tanpa panduan.

Bahan pengajaran seperti buku teks dan rujukan yang terdapat di pusat sumber atau perpustakaan juga tidak memenuhi kehendak kurikulum, bahkan ada yang tidak tersenarai dalam ‘rujukan’ atau pun yang sudah ‘lupus’ dan pengajar perlu mencari di laman sesawang untuk mendapatkannya.

Jelas ia merupakan tindakan yang tidak selaras dalam menyediakan bahan pengajaran di antara pengajar di IPT yang menyediakan program yang sama.

Tenaga pengajar didapati seperti ditangkap muat untuk mengisi peluang ‘mengajar’ atau memastikan mereka mempunyai dan diberi masa kuliah terutama di kalangan kroni yang terlibat.

Ada yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana dibidang bukan kelayakan diambil untuk memberi kuliah walaupun ‘pengetahuan dan ilmu’ bukan berdasarkan mata pelajaran yang dimaksudkan; ijazah tinggi tidak semestinya tahu akan bidang yang diajar sebagai contoh Ijazah Doktor Falsafah Sukan diberi kuliah ‘ilmu pendidikan’ atau ijazah lingusitik untuk kuliah statistik.

Pentadbir akademik juga didapati banyak mempengaruhi keputusan dan ketetapan dalam menentukan kuiz, ujian dan peperiksaan akhir, juga terdapat ketidaksepakatan dan kebersamaan memandangkan, mereka yang dipilih untuk menghadiri mesyuarat peperiksaan adalah mereka yang bukan ‘ahli’ dalam subjek yang ingin ditaksirkan.

Sebagai contoh, adakah seorang Setiausaha Peperiksaan tahu semua mata pelajaran yang diwakilinya; atau ‘pakar mata pelajaran dan pemeriksa dalaman’ adalah mereka yang benar-benar pakar dalam mata pelajaran yang dimaksudkan; atau mereka sekadar menghadiri mesyuarat dan pulang membawa ‘persetujuan yang telah ditetapkan’.

Para pelajar juga didapati tidak bersedia dan berusaha dalam menimba ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang dicurahkan. Ramai yang menunggu untuk di ‘suap’ walaupun kaedah flipped class room, blended learning atau ‘pembelajaran berasaskan pelajar’ diberikan.

Tanggungjawab dan persediaan sebagai pelajar didapati tidak dihayati sepenuhnya, ramai yang mengambil sikap mudah mungkin mereka sudah tahu bahawa asalkan membuat dan menghantar tugasan, mengambil kuiz dan peperiksaan pastinya mereka akan tetap lulus walaupun gagal.

Bagi pengajar, bagaimana usaha mereka sekali pun pastinya mereka terpaksa akur dengan ‘arahan dan kehendak pentadbiran’; moral dan kebajikan pengajar tidak dipedulikan dan diabaikan.

Jika ini berterusan, apa lagi yang boleh dilakukan; mengusul, memberi pandangan dan pendapat tidak endahkan. Kuasa di tangan mereka yang menguasai; yang diusaha tidak kesampaian dan yang ditatang bertaburan.

GRADUAN GENERASI PELAPIS

Kedah