Oleh yang demikian, kawasan tersebut sering menjadi tumpuan ramai terutamanya pelancong baik tempatan mahupun dari luar negara.

Saya baru-baru ini turut berkesempatan menghabiskan cuti di kawasan peranginan tersebut.

Sepanjang perjalanan ke sana berjalan lancar sehinggalah saya melewati laluan untuk mendaki ke tanah tinggi tersebut.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antaranya keadaan lalu lintas melibatkan kenderaan berat terutama lori membawa muatan sayur-sayuran serta bas persiaran yang seolah-olah mementingkan diri sendiri.

Mereka seolah-olah menguasai sepanjang laluan tersebut menyebabkan ramai dalam kalangan pengunjung yang berkenderaan ringan terpaksa mengalah dan lebih berhati-hati.

Keadaan tersebut sudah pasti mengundang rasa tidak selesa para pengunjung selain mengundang bahaya.

Dalam pada itu, laluan yang agak terhad dan tidak diselenggara dengan baik juga merupakan antara faktor yang boleh mematikan mood saya yang pada awalnya amat teruja untuk ke sana.

Apa yang saya perhatikan, terdapat timbunan tanah, sampah, dahan-dahan pokok yang terjatuh di atas jalan tidak dialih dan diuruskan dengan segera.

Malah bongkah-bongkah batu besar di kiri dan kanan laluan juga tidak diletakkan sebarang tanda amaran.

Keadaan tersebut sebenarnya amat berbahaya kepada para pemandu terutama mereka yang baharu pertama kali menggunakan laluan itu.

Apatah lagi ketika hari hujan kerana kesilapan kecil mungkin mampu mengakibatkan bencana.

Diharapkan PBT di kawasan tersebut dapat melakukan pemantauan dan penyelenggaraan dengan lebih kerap.

Ini bagi memastikan keadaan laluan tersebut selamat untuk digunakan oleh pengunjung.

PEMANDU BERHEMAH

Klang