DENGAN segala hormat kami merujuk pendapat saudara MOHD. ZAIHARIN MOHD TAHIR tentang kesesakan yang didakwa disebabkan oleh pembukaan laluan kontra oleh pihak Lebuhraya Maju Expressway (Mex) dan kemudian disiarkan di dalam FORUM Utusan Malaysia bertarikh 10 Ogos lalu.

Untuk makluman, kesesakan memang sering berlaku sebelum bermulanya pelaksanaan laluan kontra tersebut. Ini disebabkan pertemuan aliran masuk trafik dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan aliran trafik di laluan utama Lebuhraya Mex di persimpangan Bukit Jalil.

Pelbagai aduan dan rungutan diterima setiap hari oleh pihak Mex daripada pengguna supaya masalah kesesakan itu diatasi. Sehubungan itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah menyarankan pelaksanaan laluan kontra ini.

Objektif utama pembukaan laluan kontra ini adalah bagi menyuraikan kesesakan yang berlaku di Persimpangan Bukit Jalil menghala ke Kuala Lumpur pada waktu puncak di sebelah pagi.

Hasil pemantauan dan pemerhatian pihak Mex dan LLM, kesesakan berjaya dikurangkan.

Sebelum laluan kontra ini dilaksanakan kesesakan di laluan utama di Lebuhraya Mex adalah sepanjang empat kilometer bermula dari KM10 ke KM14 iaitu dari titik pertemuan antara Lebuhraya Kesas dan Mex. Setelah pelaksanaannya, kesesakan ini dapat dikurangkan menjadi dua kilometer sahaja dan turut menyumbang kepada masa perjalanan yang lebih singkat iaitu 10 minit lebih cepat daripada biasa.

Pihak kami akan memperbaiki sebarang kelemahan yang ada dan kami juga memohon kesabaran daripada para pengguna lebuh raya sehingga laluan kontra ini berjalan lancar sepenuhnya.

SAIFUL BAKHRI MOHD. ANNUAR

Jabatan Komunikasi Korporat Mex