Malaysia bercita-cita menjadi pusat rujukan kecemerlangan dunia dalam pelbagai bidang. Bergerak ke arah itu, institusi pengajian tinggi di negara ini perlu belajar daripada institusi yang sudah berada di hadapan.

Antara contoh yang baik diteladani adalah Universiti Harvard di Amerika Syarikat dari segi prestasi kecemerlangan akademik dan kemampanan kewangan universiti.

Tidak boleh dinafikan kecemerlangan Universiti Harvard melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan yang hebat menyumbang secara langsung kepada dunia sehingga ramai daripadanya menjadi penerima Hadiah Nobel.

Namun, jarang kita ketengahkan kekuatan kewangan Universiti Harvard itu sendiri yang menjadi sumber utama pembiayaan kajian dan penyelidikan universiti tersebut.

Suatu yang sangat mengagumkan adalah sumber kewangan terbesar Universiti Harvard datang daripada sumber bersifat endowment atau wakaf.

Sehingga 2016, jumlah ‘wakaf’ yang terkumpul oleh Universiti Harvard kini bernilai AS$36.4 bilion (RM161 bilion) dan aset ini diurus oleh Syarikat Pengurusan Harvard iaitu sebuah syarikat pengurusan pelaburan milik universiti itu sendiri.

Jumlah aset yang besar itu dimanfaatkan untuk kegunaan infrastruktur, kajian dan kegiatan universiti. Memandangkan universiti mampu berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana geran dan institusi luar, mereka dapat menggerakkan sebarang agenda dengan lancar dan berkesan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut mendukung cita-cita PPPM 2016-2025 dan tampil dengan model graduan Generasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA).

USIM juga memandang lebih jauh dan mahu mencapai tampuk baharu dalam mencapai impian PPPM 2016-2025 dan GIINA dengan memulakan kempen wakaf dalam kalangan warganya.

Dengan visi melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya saing dan pada masa sama membangunkan kampus barakah, USIM kini menumpukan usaha membina kekuatan dana wakafnya sendiri khusus untuk membina infrastruktur dan membiayai penyelidikan serta pengajian pelajar.

Majlis Perwakilan Pelajar USIM bekerja erat bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan bagi mempromosikan projek wakaf ini dalam kalangan warga universiti.

Sekiranya tiada aral melintang, tiga projek wakaf akan dilancarkan iaitu pembinaan hospital dan hotel, kolej kediaman pelajar dan laluan pejalan kaki berbumbung di sekitar kampus USIM.

Sekiranya perancangan jangka masa panjang ini berjaya, pembangunan USIM boleh melangkah lebih pantas dan jauh.

Wakaf di USIM bukan semata-mata soal wang dan pembangunan fizikal bahkan meliputi aspek rohani. Inilah ciri Kampus Barakah yang diimpikan USIM. Sebuah universiti yang warganya berpegang kepada budaya santun dan proaktif secara seimbang dan matang.

Pendidikan wakaf untuk warga USIM berhasrat melahirkan pemikiran sedar yang sentiasa bersedia untuk membelanjakan sedikit wang demi manfaat lebih meluas dan berkekalan.

Melahirkan rakyat yang sukarela berbelanja demi manfaat orang lain dari peringkat universiti adalah perkara yang diperlukan demi membina sebuah negara bangsa maju dan berminda kelas pertama supaya kelak mereka sedia untuk mengorbankan sedikit kesenangan diri demi agama, bangsa dan negara.

Begitulah besarnya manfaat wakaf demi membangun kerohanian masyarakat ke arah yang lebih baik dan pada masa sama menyumbang kepada kemajuan penyelidikan dan infrastruktur.

Kami juga amat mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan akademik, mahasiswa, penggubal polisi dan organisasi lain untuk bertandang agar dapat kami berkongsi pengalaman USIM dan mengembangkan amalan wakaf universiti ini.

Menjelang realisasi program Transformasi Nasional 2050, USIM bakal mempunyai sebuah institut pengajian tinggi awam yang mampu menjana dan menguruskan dana wakaf setanding Universiti Harvard.

Ketika itu, kita juga mampu melahirkan penyelidikan dan graduan setanding mereka atau mungkin lebih baik lagi kerana warga Malaysia kaya dengan potensi dan sampai masanya kita mencapai potensi diri yang paling tinggi.

IRFAN FARUQI M. FAIRUS

Universiti Sains Islam Malaysia