Persoalan ini timbul kerana rata-rata daripada mereka masih bergelumang dalam dunia pembelajaran seperti berada di pusat pengajian tinggi dan mengikut pelbagai program ijazah atau diploma selain ada yang sudah bekerja. Ramai juga yang masih mencari haluan kerjaya dan kehidupan diri sendiri.

Apakah semua ini perlu dikorbankan untuk dunia politik?

Kebanyakan mereka juga sebenarnya dalam tempoh membentuk sahsiah diri dan mencari hala tuju dalam kehidupan untuk menjadi insan berjaya. Adakah patut pihak kerajaan seolah-olah sudah mengajak mereka berjinak-jinak dengan bermain politik? Sedangkan sahsiah diri mereka masih belum kukuh dan mantap serta tercari-cari rentak kehidupan.

Oleh itu, adalah dirasakan usia 21 tahun adalah usia yang mantap dan sesuai untuk seseorang individu itu mencapai tempoh minimum kematangan dalam segala hal.

Kalau dilihat dari sudut demokrasi memanglah kerajaan mahu lebih ramai rakyat sebagai pengundi kerana semakin ramai pengundi yang mengundi sesuatu parti itu maka semakin kuatlah parti-parti politik tersebut.

Namun jika dilihat dari sudut kematangan, pengundi bawah 21 tahun umpama lalang yang mudah dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin parti supaya menyokong mereka. Jadi hakikatnya mereka belum bersedia untuk menjadi seorang pengundi yang benar-benar matang dalam membuat pilihan calon yang tepat.

PENGUNDI TEGAR

Kelantan.