Satu kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.15 gram atau bersamaan 2.9 gram sehari. Kadar ini lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5.0 gram sehari.

Melihat kepada situasi ini, jika trend pengambilan garam yang tinggi tidak dikawal berkemungkinan peratus penghidap penyakit darah tinggi juga akan meningkat. Dianggarkan 5.8 juta orang penduduk Malaysia menghidap penyakit ini.

Rempah ratus yang banyak terdapat di negara kita sebenarnya boleh dijadikan alternatif kepada penggunaan garam mahupun perisa tiruan dalam masakan. Malah, rempah ratus di dapur rumah seperti cili, halia, buah pelaga, lada hitam dan kayu manis sudah cukup untuk menjadikan masakan lebih enak dan menyihatkan.

Pengusaha kedai makan dan restoran juga dinasihatkan mengikut piawaian penggunaan garam dan tidak menambahnya sesuka hati. Usahlah mengharapkan keuntungan berlipat kali ganda dan pada masa sama menganiaya pengguna.

Rempah ratus juga membuka peluang kepada golongan petani, usahawan dan pengusaha kedai makan menambah pendapatan dengan mengkomersialkan produk rempah ratus. Malah, nilai pengeluaran rempah ratus negara hanya sekitar RM209 juta sahaja setahun.

Rempah ratus seperti halia, kunyit, bunga kantan, lengkuas, limau nipis dan serai sangat diperlukan dalam masakan tempatan. Jika diteliti nilai pengeluarannya juga masih rendah sedangkan permintaannya amat tinggi. Produk rempah ratus ini juga boleh dikeringkan dan dijenamakan sebagai dried herbs untuk kegunaan tempatan mahupun dieksport ke luar negara.

SUHANA MOHAMED,

Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan,

UiTM Kampus Pasir Gudang