MUHAMMAD ABDUL GHANI

 

RAMAI yang bercakap sudah sampai masanya Parlimen Kubang Kerian, Kelantan kembali kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam tempoh lebih 27 tahun, Parlimen Kubang Kerian terus di dominasi oleh parti-parti lawan UMNO termasuk Pas selepas 12 tahun UMNO memerintah Kelantan antara 1978 hingga 1990.

Sejumlah 82,000 pengundi Parlimen Kubang Kerian masih memilih calon Pas dalam PRU lepas sedangkan UMNO telah membawa perubahan besar di kawasan itu termasuk pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM), institut latihan jururawat dan banyak pembangunan ekonomi dan pendidikan.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan seorang tokoh tempatan, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani yang pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) yang kini mempunyai 300,000 ahli.

Ini berbeza dengan parti lawan membawa calon yang tinggal di luar Kelantan. Pas sebelum ini turut diwakili calon-calon bukan anak Kelantan. Mat Sabu sendiri pernah menjadi Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian selain beberapa nama besar lain dari luar Kelantan.

Berapa kali mereka turun menjenguk rakyat dalam tempoh menjadi Ahli Parlimen? Begitu juga Ahli Parlimen lain yang hanya muncul semasa PRU sebelum hilang selama lima tahun.

Ketika zaman penjajah British, pegawai-pegawai tinggi kerajaan di Kelantan diimport dari Britain kerana negeri itu kekurangan golongan yang berpendidikan tinggi serta mahir dalam urusan pentadbiran. Kini sistem mengimport pemimpin dari luar Kelantan wajar ditamatkan.

Kelantan tidak kurang golongan ahli politik yang berpendidikan tinggi dan berbakat besar untuk menyumbang tenaga dan fikiran bernas bagi memajukan ekonomi dan kebajikan sosial masyarakat tempatan. Mengapa kita perlu menjemput tokoh dari luar untuk bertanding dalam PRU kali ini?

Sikap lapuk yang tidak menjulang tokoh-tokoh politik tempatan adalah tindakan yang merugikan malah seperti bidalan Melayu umpama kera di hutan disusukan sedangkan anak di pangkuan mati kelaparan.

HAJI WAN AHMAD
Kota Bharu, Kelantan