Tinjauan kami di sekitar Pulau Pinang menunjukkan ramai peniaga dengan sewenang-wenangnya melanggar akta tersebut.

Kesalahan paling banyak ialah harga makanan dan minuman yang dijual oleh gerai-gerai ini tidak dipamerkan (28 daripada 85 gerai yang diperiksa). Kadangkala mereka meletakkan senarai harga yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Cina sahaja.

Kesalahan kedua paling banyak ialah restoran (lapan daripada 20 restoran yang diperiksa) yang tidak mengemaskini senarai harga mereka.

Tinjauan kami juga mendapati kesalahan serupa dilakukan enam daripada 15 kedai runcit yang diperiksa, lima daripada 10 kedai peralatan komputer dan tiga daripada 10 kedai alat ganti kereta.

Banyak kedai makan meletakkan senarai harga makanan dan minuman jauh daripada tempat makanan dihidangkan. Oleh itu, adalah sukar bagi pelanggan untuk mengetahui harga makanan yang diambil dan sering kali harganya melebihi daripada bajet mereka.

Secara umumnya, pengguna dikenakan bayaran berlebihan dalam kes sebegini dan mereka tidak mempunyai senarai harga untuk bertanya mengenai bayaran yang dikenakan.

Akta Kawalan Harga 1946 menetapkan peniaga bertanggungjawab untuk memaklumkan harga kepada pembeli tetapi kelemahan dalam penguatkuasaan mengekang keberkesanan peruntukan undang-undang ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa KPDNKK menjalankan operasi mengejut di seluruh negara dengan memeriksa dan menguatkuasakan dengan tegas undang-undang ini.

Mereka yang melakukan kesalahan perlu diambil tindakan tegas dengan segera bagi melindungi hak pengguna.

 

S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP