Saya yakin semua pun tahu tiada sebab munasabah dan konkrit yang mewajarkan tindakan pemain-pemain terbabit. Pelbagai alasan boleh diberi termasuk mengaitkan faktor usia, kecederaan dan kemerosotan prestasi yang berpanjangan, namun pada akhirnya keputusan untuk bersara itu adalah hak mereka.

Ramai menyedari kuasa wang dipercayai mengubah senario bola sepak tempatan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib bola sepak Malaysia untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang jika semangat patriotik para pemain semakin luntur.

Satu persoalan, sekiranya mereka bukan berada dalam Liga Super bersama pasukan tersohor tempatan, adakah mereka akan mengambil keputusan sama? Bayangkan empat pemain dalam pasukan sama dengan kudrat muda yang masih mampu menyumbang dan bebas kecederaan kronik, tiba-tiba mengumumkan bersara daripada mewakili negara.

Tindakan mereka itu sebenarnya telah memberi mesej salah kepada generasi muda yang masih bersekolah dan mempunyai semangat berkobar-kobar untuk berjuang demi negara dalam arena bola sepak pada masa depan.

 

PATRIOT BOLA MALAYSIA

Kuala Lumpur