MERUJUK surat pembaca yang ditulis oleh Hafiz dari Kuala Lumpur bertajuk Kecewa dengan servis KTMB di ruangan FORUM Utusan Malaysia, 8 Jun lalu.

Untuk makluman, penstrukturan perkhidmatan tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Intercity bermula 19 Mei lalu adalah seiring dengan penerimaan lengkap semua set ETS yang diperuntukkan kepada KTMB pada awal tahun ini.

Projek Landasan Berkembar Elektrik dari Gemas ke Padang Besar pula adalah satu projek di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam berasaskan rel kepada orang awam di samping menghubungkan jaringan landasan berkembar elektrik sehingga ke Johor Bahru dari Padang Besar menjelang tahun 2020.

Justeru, KTMB komited menggunakan secara maksimum semua set tren ETS ini di laluan landasan elektrik yang melibatkan Gemas-KL Sentral-Padang Besar bertujuan memberikan perkhidmatan yang lebih selesa, pantas dan efisien berdasarkan ciri-ciri yang ada pada tren ETS tersebut.

Selain itu, kekangan yang dihadapi akibat kekurangan koc-koc tren Intercity turut diambil perhatian. Penggunaan sepenuhnya ETS di sektor Gemas-KL Sentral-Padang Besar sebenarnya memberi ruang untuk KTMB menjalankan program penyelenggaraan terhadap koc-koc tren Intercity yang telah uzur.

Koc-koc tren Intercity ini akan diperuntukkan untuk kegunaan perkhidmatan di Pantai Timur. Untuk makluman, harga tiket KTMB adalah berdasarkan kelulusan yang diberikan kepada kami. Sungguhpun begitu KTMB tetap menawarkan perkhidmatan pilihan dengan diskaun kepada orang ramai yang memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

KTMB sentiasa mengambil maklum pandangan orang ramai untuk memastikan perkhidmatan kami berdaya saing dengan pengangkutan awam lain di Malaysia. Sebagai contoh, KTMB pernah memberikan diskaun perjalanan sehingga 25 peratus pada awal tahun lalu kepada semua pelanggan tanpa mengira golongan.

Dalam pada itu, projek pemulihan Klang Calley Double Track (KVDT) yang sedang berjalan ketika ini telah menyebabkan kelewatan tren ETS terutamanya perkhidmatan sektor utara. Gangguan ini mengakibatkan tren-tren yang melalui sektor ini mengalami kelewatan pada waktu pelepasan atau ketibaan daripada jadual asal. Untuk pengetahuan kerja-kerja penyelenggaraan asas di kawasan ini dalam pemantauan pasukan kejuruteraan kami.

Aduan tentang tren ETS yang dikatakan berhenti bukan di stesen hentiannya serta dakwaan terdapat penumpang yang menaiki tren tanpa tiket, kami hargai jika dapat memberikan maklumat terperinci untuk siasatan. Maklumat tersebut termasuklah tarikh kejadian, masa, nombor tren dan stesen yang dimaksudkan.

Sekali lagi KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Kami akan terus komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pada masa akan datang seiring dengan usaha transformasi pihak kerajaan. Semoga tuan akan terus menjadikan KTMB sebagai perkhidmatan pilihan.

LT. KOL. (B) DATUK SARBINI TIJAN

Presiden KTM Berhad.