SEKOLAH adalah tempat pelajar menimba pelbagai ilmu sama ada dalam bentuk akademik mahupun kemahiran hidup seharian.

Selain guru, ibu bapa juga turut berperanan sebagai pembimbing dan penyebar ilmu kepada anak-anak mereka.

Oleh itu, melalui gabungan kedua-duanya maka akan lahir murid-murid yang seimbang dari segala segi. Cuma apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah penglibatan secara langsung ibu bapa dengan pihak sekolah melalui pembentukan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB).

KSIB adalah saluran yang berfungsi untuk mewujudkan hubungan erat antara ibu bapa, guru, murid-murid dan sekolah. Dengan wujudnya hubungan yang baik antara kedua-dua belah pihak akan memudahkan lagi pelbagai aktiviti dijalankan secara bersama terutama yang melibatkan usaha meningkatkan kecemerlangan murid-murid.

Ibu bapa boleh bersama-sama pihak sekolah terlibat memajukan bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid-murid. Ini kerana, kebanyakan ibu bapa masa kini berpendidikan tinggi dan mempunyai kepakaran dalam kerjaya masing-masing.

Justeru, melalui KSIB ini, ibu bapa boleh berkongsi buah fikiran, pengalaman dan idea dengan murid-murid serta pihak sekolah. Perkongsian ini boleh dibuat ketika hari sukan mahupun hari bertemu ibu bapa iaitu ketika mengambil laporan kemajuan anak-anak.

Apa yang boleh saya katakan, KSIB boleh mewujudkan satu landasan kerjasama yang konsisten antara ibu bapa dan pihak sekolah. Akhirnya, anak-anak kita juga yang akan menerima manfaatnya.

AKMAR HAYATI

Putrajaya