Pelbagai manfaat berjaya diperoleh kedua-dua belah pihak sepanjang proses lawatan baginda ke Malaysia. Antara yang menjadi tumpuan ialah persetujuan baginda terhadap penubuhan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) atau Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Penubuhan KSCIP iaitu sebuah pusat khusus dalam mempromosi kedamaian peringkat antarabangsa melibatkan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Arab Saudi serta Muslim World League (Liga Islam Sedunia), manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), satu-satunya universiti tempatan terpilih bagi menjayakan penubuhan pusat berkenaan.

Kementerian Pertahanan menerusi inisiatif menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memainkan peranan utama bagi menggerakkan penubuhan KSCIP.

Pusat itu kelak berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan dan institusi profesional di peringkat antarabangsa sekali gus bertanggungjawab kepada kerajaan Malaysia melalui Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah kementerian tersebut dengan mempelopori hal ehwal menangani isu dan ancaman keselamatan berbentuk keganasan melalui penyelidikan dan perkongsian maklumat.

Hakikatnya, penubuhan KSCIP yang akan memberi fokus terhadap aspek penjagaan dan penyebaran kedamaian adalah tepat pada masanya agar semua pihak serta generasi akan datang dapat mengecapi kehidupan lebih aman dan damai.

Dunia masa kini memperlihatkan masyarakat khususnya umat Islam di seluruh dunia sering ‘diganggu’ dengan pelbagai jenis ancaman termasuk peperangan, konflik antara kaum dan agama, pembunuhan, dan terkini ancaman keganasan. Justeru penubuhan KSCIP kelak dapat menjadi sebagai satu platform penting ke arah menjadikan dunia lebih stabil dan harmoni.

Antara peranan penting yang boleh dimainkan melalui penubuhan pusat ini termasuklah dalam aspek menjalankan kajian dan penyelidikan lebih mendalam ke atas mana-mana isu yang dilihat boleh menjejaskan keamanan global itu sendiri.

Melalui penubuhan KSCIP, golongan pemikir dari dalam dan luar negara dapat berkumpul serta bertukar-tukar pandangan terhadap mana-mana perkara atau isu berbangkit yang dilihat boleh menjejaskan keamanan global.

Pada masa sama, idea-idea golongan pemikir itu juga boleh diguna pakai bagi memelihara serta mempromosi proses keamanan global. Selain itu, penubuhan pusat berkenaan dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk duduk berbincang mengenai sesuatu perkara yang melibatkan keamanan global.

Melalui langkah ini, KSCIP juga dilihat secara tidak langsung boleh menjadi ‘jambatan’ perhubungan antara dunia Islam dengan bukan Islam atau negara timur dan barat untuk duduk semeja serta melakukan sebarang proses perbincangan terhadap mana-mana isu berbangkit melibatkan aspek keselamatan dan keamanan global.

Dengan ini, sebarang salah faham yang berlaku di antara dua masyarakat terbabit dapat diselesaikan dengan baik tanpa berlaku konflik berpanjangan. Paling penting, penubuhan pusat keamanan yang sedang diusahakan itu juga dapat menamatkan dan menghentikan sebarang usaha tidak baik oleh mana-mana pihak atau kumpulan yang suka melaga-lagakan antara satu pihak dengan pihak yang lain demi kepentingan diri mereka sendiri seperti golongan ekstremis dan pengganas.

Ini dapat dilakukan melalui proses penyebaran maklumat yang lebih sahih, selaras dengan ajaran sebenar agama Islam serta yang mewakili suara umat Islam yang majoritinya inginkan kedamaian.

Oleh yang demikian, penubuhan KSCIP perlu dipandang positif oleh semua pihak baik di dalam negara mahupun di luar negara kerana pusat itu boleh memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak untuk hidup dalam keadaan aman dan selamat.

Semua pihak harus memberi sokongan jitu dan padu terhadap proses penubuhan pusat keamanan terbabit serta membantu untuk menjadikan pusat keamanan global terbabit sebagai pusat yang boleh mencorak perubahan ke arah menjadikan persekitaran dunia yang lebih baik dan aman.

DR. MUZAFFAR 
SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia