Realiti dalam dunia masa kini adalah perebutan kuasa, jawatan dan kedudukan antara mereka yang berkhidmat atau bertugas di tempat kerja lebih menjurus kepada kepentingan peribadi daripada melaksanakan tugas sebagai pemimpin berwibawa.

Mereka dilantik atau dipilih menerajui kepimpinan dalam sesuatu organisasi bertanggungjawab memastikan rakan sekerja gembira dan produktif dalam melaksanakan tugas dan kerja yang diberikan.

Pada hemat saya, bukan kronisme sahaja yang menjejaskan keharmonian di tempat kerja, amalan favoritisme, nepotisme dan patronage juga perlu diberi perhatian serius. Matlamat ‘membahagiakan’ suasana di tempat kerja tidak akan tercapai jika amalan pilih kasih (favoritisme), berat sebelah kepada rakan (kronisme), mengutamakan keluarga (nepotisme) dan kelebihan naungan politik (patronage) tidak dibanteras.

Pilih kasih biasanya berlaku apabila pihak pengurusan organisasi memihak kepada seseorang bukan kerana dia melakukan pekerjaan dengan baik tetapi atas sebab-sebab perhubungan di luar prestasi kerja. Ini turut membabitkan penganugerahan cemerlang kepada mereka yang baharu berkhidmat. Sering kali, individu ‘terpilih’ itu adalah kakitangan yes man.

Dalam hal nepotisme, ahli keluarga diberi keutamaan untuk mendapat jawatan dan kedudukan serta kenaikan pangkat semata-mata kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga.

Hakikatnya amalan sedemikian memberi kesan kepada beberapa keputusan negatif seperti:

- Melemahkan semangat kakitangan kerana mereka tahu ketidakadilan berlaku

- Menimbulkan kebencian terhadap pihak pengurusan dan individu terbabit

- Organisasi berisiko kehilangan beberapa pekerja berpotensi cemerlang

- Perkembangan dan pertumbuhan organisasi terbantut

Justeru, jika tahu salah seorang daripada anda ada membuat laporan atau aduan mengenai amalan pilih kasih, jangan abaikannya. Kumpulkan dan sediakan fakta dan bawalah ke muka pengadilan.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar,

Kuala Lumpur