Kelmarin, sebahagian besar Dato' Lembaga yang sah membuat laporan polis kerana terkejut penyebaran surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menerima pengisytiharan pelantikan Maaruf Mohd. Rashad sebagai Undang Luak Jelebu tanpa pengetahuan mereka.

Surat melalui aplikasi WhatApp itu ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Datuk Jemal Zainal Kasim dengan salinan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Pegawai Daerah Jelebu.

Tindakan Jemal Zainal bukan sahaja mencemar nama baik dewan tersebut tetapi beliau sendiri tanpa disedari telah melanggar etika.

Ini melalui keputusan yang diamanahkan kepada Jawatankuasa Khas yang beliau sendiri boleh duduk bersama di bawah naungan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Beliau pernah duduk bersama menentukan kedudukan Dato' Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ismail Mohd. Zain yang menimbulkan kontroversi sebelum disahkan oleh dewan berkenaan.

Sebelum itu, jawatan tersebut disandang oleh Mat Tarmizi Selamat yang telah dipecat oleh anak buahnya.

Namun kesilapan lebih besar atau sumbang adat, bagaimana Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan boleh menerima Maaruf sebagai Undang Luak Jelebu.

Sedangkan beliau sendiri tidak melalui saluran Buapak yang sah dan Dato' Lembaga Maharaja Inda, Mohd. Nordin Mansor yang diiktiraf oleh dewan itu.

Terbukti tidak mengikut saluran yang betul. Mengikut adat, wajib kalau Maaruf daripada waris Kemin, maka talian adatnya mesti melalui Dato' Maharaja Inda.

Soalnya, di mana pula kedudukan dan keadilan kepada 30 calon benih yang menunggu selama ini, kini menjadi mangsa kekecohan dan kontroversi antara Dato' Lembaga.

Tindakan Jemal Zainal dengan sendirinya mengenepikan peranan dan kedudukan para Dato' Lembaga yang sah seperti Dato' Ombi Maharaja Lela, Kadin Kidam sejak 2002, Dato' Raja Balang, Norhairizan Mukti (2004), Dato' Senara Angsa, Rosli Mohd Zain (2007), Dato' Shahbandar, Mohd. Rathi Shamsudin (2006).

Mereka menjalankan tanggung jawab masing-masing semasa hayat Allahyarham Undang Luak Jelebu ke-15, Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 2014.

Yang nyata, bukan adat itu sudah tercemar dan rosak tetapi memecah-belahkan kedudukan suku sakat Perut anak-anak buah yang melantik mereka selama ini bagi memupuk, bulat anak buah membentuk Buapak, bulat Buapak membentuk Lembaga.

Dengan fakta yang jelas ini, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan kena singkap kembali kedudukan sebenar dan kenapa tindakan Jemal Zainal dibantah.

Ini kerana ia tidak mengikut peraturan atau pemuafakatan seperti yang disebut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik dalam suratnya pada 13 Disember 2018.

Sudah ada bukti-bukti kukuh di pihak benar, yang salah juga diangkat sebagai benar.

WARIS UNDANG JELEBU

Negeri Sembilan