KPI adalah satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan dapat membantu sesebuah organisasi menilai tahap kemajuan pekerjaan dan perkhidmatan yang ingin disampaikan di tempat kerja.

Penggunaan KPI adalah penting pada masa kini kerana banyak organisasi baik di sektor awam mahupun swasta dalam negara kita sudah pun mula mengamalkan penggunaan KPI berkenaan dalam merangka perjalanan rancangan, aktiviti serta program yang ingin dilaksanakan dalam tempoh masa tertentu.

Buat sekian lama, pihak kerajaan menerapkan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Sejajar dengan visi, misi dan fungsi agensi, setiap organisasi atau tempat kerja perlu mengukur prestasi perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan disampaikan kepada golongan sasar dengan baik.

Penggunaan KPI di sektor awam telah diterima pakai kebanyakan organisasi dan tempat kerja di sektor swasta kerana manfaat yang dibawa melalui penggunaannya khusus dalam merangka aspek perjalanan pekerjaan serta aspek penilaian tahap keuntungan yang ingin diperoleh.

Secara umumnya, penggunaan KPI dalam pengukuran prestasi sesebuah organisasi dapat difokuskan kepada tiga perkara utama iaitu menjelaskan hala tuju sesebuah organisasi atau tempat kerja, memberi tumpuan terhadap bidang-bidang utama kepada pihak berkepentingan serta menilai tahap prestasi yang telah disasarkan.

Walaupun penggunaan KPI dilihat dapat membantu perjalanan sesebuah organisasi dalam merangka segala bentuk aktiviti dan program yang dirancangkan, KPI berkenaan haruslah dirangka dengan profesional dan bijak mengikut realiti dan kesesuaian sesebuah organisasi atau tempat kerja yang terlibat.

KPI terbabit perlulah dirangka secara realistik atau berpijak di bumi yang nyata. Tidak dapat dinafikan setiap organisasi atau tempat kerja mempunyai objektif serta matlamat yang berbeza.

Jika KPI yang dirangka tidak menepati keadaan atau suasana organisasi atau tempat kerja, dikhuatiri akan melahirkan persekitaran pekerjaan yang dipenuhi dengan tekanan dan stres.

Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum merangka sesebuah KPI yang realistik seperti mengambil kira jumlah tenaga pekerja serta pakar yang dimiliki selain dana atau modal kewangan yang ada.

Sebarang pelaksanaan KPI yang tidak realistik perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan kewujudan tekanan atau masalah stres dalam kalangan pekerja organisasi terlibat.

Jika tiada langkah proaktif atau pencegahan diambil di peringkat awal bagi mengatasi masalah tekanan atau stres, pelbagai impak negatif boleh terjadi terutamanya dari sudut kesihatan pekerja.

DR. MUZAFFAR 
SYAH MALLOW
USIM Nilai, Negeri Sembilan