Menurut beliau, kaedah itu boleh diperkenalkan sekiranya GiatMara, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Belia Negara dilibatkan secara optimum dalam pembuatan dan penjualan pakaian seragam sekolah kerana pusat-pusat latihan itu mempunyai kemudahan menjahit pakaian dan cawangan untuk membuat jualan hampir di setiap daerah seluruh negara.

Bagi saya cadangan itu memang kena pada masanya kerana pada masa sekarang ramai ibu bapa menghadapi tekanan untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

Jika zaman saya bersekolah pada pertengahan 1980-an, saya berasa amat seronok untuk menempuhi tahun persekolahan baharu. Cukup hanya dengan dua pasang kasut dan dua pasang baju yang akan saya gunakan sepanjang tahun kerana harganya berpadanan dengan kualiti ditawarkan.

Namun pada masa kini, anak-anak silih berganti bertukar kasut dan pakaian sekolah. Harga ditawarkan pula saya dapati tidak berpadanan dengan kualiti barangan itu. Tinjauan saya di kedai dan gedung yang menjual pakaian dan peralatan sekolah, mendapati kebanyakannya mempunyai dua jangkauan harga sama ada amat murah atau amat mahal.

Pilihan kita sebagai pengguna untuk jangkauan harga sederhana nampaknya amat kurang walaupun ada. Satu lagi hakikat yang harus diketahui oleh semua pihak adalah barangan murah yang ditawarkan itu kebanyakannya berkualiti rendah. Namun untuk membeli barangan persekolahan berkualiti tinggi, harga amat mahal yang jauh daripada kemampuan orang biasa.

Bagi saya, kekurangan barangan sekolah mampu milik yang berkualiti seharusnya diambil kesempatan oleh koperasi untuk mengisi kekosongan itu. Keuntungannya akan diperoleh kembali oleh ahli-ahli koperasi yang ramai dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang bersekolah.

Ini adalah salah satu mekanisme yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan harga barangan persekolahan yang sentiasa naik setiap tahun sedangkan kualitinya adalah sama, cuma ditampal dengan jenama menarik kononnya keluaran syarikat antarabangsa.

Kita perlu berbangga membeli barangan tempatan yang dihasilkan dan dijual oleh rakyat kita sendiri. Selain itu, kita boleh memberikan peluang pekerjaan kepada golongan memerlukan seperti ibu tunggal dan asnaf yang layak menerima zakat untuk menjahit pakaian seragam sekolah. Ini adalah sumbangan kita kepada mereka.

Dalam setiap permasalahan, ada peluang yang boleh direbut. Oleh itu, kita sendiri perlu merebutnya sebelum peluang itu ‘diragut’ oleh syarikat antarabangsa yang akan membawa wang keuntungan keluar ke negara asal mereka.

Kedai buku dan koperasi sekolah juga boleh memainkan peranan sebagai ejen menjual barangan persekolahan kepada masyarakat.

Selain itu, sebagai anggota masyarakat, kita semua perlu memainkan peranan untuk membantu jiran dan kenalan yang kurang berkemampuan untuk menghadapi sesi persekolahan 2018. Kita warga Malaysia adalah satu entiti kekeluargaan.

MOHAMMAD 
NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)