Ini susulan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mengumumkan bahawa pelaksanaan pemakaian kasut berwarna hitam bagi semua murid sekolah akan bermula tahun hadapan.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang diterima Kementerian Pendidikan selain mahu meningkatkan keceriaan pelajar.

Semenjak keputusan ini dibuat, terdapat pelbagai pihak menjadikan keputusan ini sebagai satu isu besar sehingga ada yang memandang remeh terhadap keputusan dibuat.

Golongan pengkritik ini beranggapan Kementerian Pendidikan sepatutnya memberi fokus kepada isu atau perkara yang lebih besar dalam negara seperti menambah baik sistem pendidikan negara, mencari jalan menyelesaikan segala masalah berkaitan disiplin pelajar, meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran serta banyak lagi.

Walaupun keputusan terhadap warna kasut sekolah dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun implikasinya adalah besar khusus buat para pelajar sekolah serta ibu bapa mereka.

Tidak seperti kasut sekolah warna putih, warna hitam lebih mudah untuk dijaga terutama dari aspek kebersihan sesuai dengan keadaan diri pelajar sekolah itu sendiri yang sentiasa menjalani kehidupan aktif belajar serta bersukan.

Dengan menggunakan kasut sekolah warna hitam juga akan lebih menjimatkan wang kerana tidak perlu mengeluarkan belanja bagi membeli kapur atau bahan pewarna putih bagi membersihkannya

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM