Mereka ialah Jefridin dan The Siglap Five; A Rahman Hassan dan Azizah Mohamad bersama Orkes Nirwana; L Ramlie dan Orkes Teruna Ria; A Rahman Onn dan The Strangers; J Sham dan The Wanderes, Zam Zam dan The Twilites serta A Halim dan D Fiction.

Walaupun penyanyi dan aggota kugiran ini meniti usia emas dan ada di antara anggota asal kumpulan tersebut telah pergi buat selama-lamanya, persembahan mereka tetap sangat menghiburkan, khususnya bagi peminat pop yeh-yeh.

Rodziah Latiff dan Fatimah M. Amin yang turut tampil dalam persembahan tersebut juga mengembalikan kenangan lama kepada dua 'penyanyi manis' itu di zaman muda mereka. Sayangnya pada malam pertama 20 Januari sewaktu saya menyaksikan persembahan, Fatimah M. Amin tidak menyanyikan lagu-lagunya sendiri.

Fatimah menyanyikan lagu Di mana Bahagia (June Abdullah dan The Clifters) serta Alam Seni (Sanisah Husri dan The Terwellos). Saya mengharapkan Fatimah menyanyikan lagu popular seperti Oh Teruna atau Harapan Kecewa yang menjulang namanya bersama The Clans.

Namun keseluruhannya persembahan Konsert Pop Yeh-Yeh ini, yang ketiga selepas Konsert Suzana 60-an dan Kenangan Mengusik Jiwa amat menghiburkan. Menyaksikan konsert tersebut bagaikan berada kembali di zaman kegemilangan pop yeh-yeh.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Istana Budaya dan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani kerana membawa konsert ini ke Istana Negara demi memenuhi cita rasa peminat pop yeh-yeh. Nyata beliau begitu peka dengan kehendak peminat lagu 60-an.

Saya berharap pada pihak Istana Budaya akan terus menganjurkan konsert seperti ini pada masa depan agar irama pop yeh-yeh tidak tenggelam dalam arus muzik masa kini.

Harapan saya juga pada masa depan, jika Istana Budaya mengadakan konsert seperti ini, undanglah penyanyi pop yeh-yeh dari Brunei juga. Sekurang-kurangnya ada tiga penyanyi pop yeh-yeh popular dari Brunei pada zaman kegemilangan 60-an dahulu iaitu Awangku Tajuddin, Norsiah A. Hamid dan Dayangku Aminah.

Kita tetap ingat gemersik suara merdu Norsiah mendendangkan lagu Berubah dan Cincin Kenangan serta Dayangku Aminah dengan Jangan Mengenang. Kesemua mereka dahulu diiringi oleh kugiran The Sandblues yang juga mengiringi Hussein Ismail.

Saya bangga kerana Istana Budaya bukan sahaja memberi tempat kepada teater atau persembahan muzik masa kini tetapi tidak lupa kepada muzik 60-an dalam diari aktiviti mereka.