Kalau tidak silap, saya pernah terbaca dalam buku Sejarah semasa di bangku sekolah bahawa pihak komunis (sebelum menjadi seteru yang ganas dan tidak berperikemanusiaan) pernah mengangkat senjata bersama askar kita bertempur dengan tentera Jepun.

Bagi saya, mungkin mereka berbuat demikian kerana mempunyai motif tersendiri, seperti ada udang di sebalik batu. Apabila tujuan dan objektif mereka tidak kesampaian, maka true colours (belang sebenar) mereka terserlah.

Kalau ini hendak dikatakan sebagai satu perjuangan dalam mencapai kemerdekaan, saya rasa istilah ‘perjuangan’ bukan istilah tepat untuk para ‘pejuang’ komunis ini. Pejuang sebenar tidak akan menghukum orang sendiri jika matlamat mereka tidak diterima.

Apa pun, itu adalah telaah saya. Mungkin saya tersilap kerana saya bukan ahli sejarah seperti Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim.

Pada pengamatan saya, apa yang perlu kerajaan buat untuk selesaikan kemelut ini once and for all (secara muktamad) adalah mengumpul semua pakar sejarah tempatan dan luar negara dalam satu perjumpaan dan bincangkan sedalam-dalamnya mengenai peranan ‘perjuangan’ komunis ini.

Mereka (pakar-pakar sejarah) lebih arif tentang isu ini berbanding dengan orang kebanyakan seperti saya ini. Saya berharap pihak kerajaan dapat merungkai isu ini secepat mungkin dan tidak membiarkan perkara ini tergantung dan terbiar lebih lama lagi.

KENNETH CHEW