Adalah penting bagi majikan menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran dan program keselamatan jalan raya yang turut merangkumi teknik pemanduan berhemah dan menunggang secara selamat dengan bantuan tenaga pengajar dan pakar berkaitan.

Kajian pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Universiti Teknologi Mara menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal mewakili 76.9 peratus mangsa kemalangan ulang-alik ke tempat kerja.

Dilaporkan pada 2017, jumlah perbelanjaan Perkeso bagi kemalangan yang melibatkan kematian, hilang upaya dan kecederaan adalah antara RM600 juta dan RM800 juta.

Juga sebanyak 33,319 kes dilaporkan dengan 667 pekerja maut. Secara purata, dua kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya setiap hari.

Adalah penting bagi majikan menjadi lebih proaktif dan komited dalam membantu mengelakkan kemalangan ke tempat kerja ini. Mereka perlu melabur untuk keselamatan para pekerja yang juga aset penting dalam organisasi mereka.

Mereka juga perlu mendidik pekerja mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana untuk menyelenggara kenderaan dengan baik agar tidak menimbulkan sebarang masalah di jalan raya.

Kelemahan dalam penyelenggaraan boleh menimbulkan masalah enjin dan mekanikal dan mungkin menyebabkan kemalangan.

Sebanyak 52 peratus daripada semua kemalangan berlaku ketika para pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dengan lebih daripada 55 peratus kemalangan berlaku ketika mereka berada dalam lingkungan 5 kilometer dari tempat kerja.

Perubahan tingkah laku juga penting kerana kajian oleh Perkeso dan Universiti Monash menunjukkan sikap penunggang motosikal dan pemandu kenderaan merupakan faktor utama penyebab kemalangan di Malaysia.

Antara tingkah laku yang diamalkan oleh pengguna jalan raya yang boleh mengakibatkan kemalangan termasuklah pemakaian topi keledar yang tidak betul, menunggang secara berbahaya seperti memotong di celah-celah kenderaan, memandu melebihi had laju serta menggunakan telefon bimbit semasa membawa kenderaan.

Semua pihak mesti memainkan peranan kerana statistik interim Perkeso menunjukkan terdapat kenaikan 10 peratus dalam bilangan kemalangan ke tempat kerja pada 2016 berbanding tahun 2015.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) kini juga telah menjalankan Kursus Menunggang Motosikal Secara Selamat dan Pemanduan Berhemah untuk pekerja setiap tahun.

Dalam tempoh 5 tahun lepas, kira-kira 5,000 pekerja telah menyertai program tersebut yang dilaksanakan melalui kerjasama di antara NIOSH dan Perkeso.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi NIOSH