Bahan buangan e-Sisa mengandungi pelbagai unsur logam berat seperti kadmium, merkuri, kuprum, kromium, nikel dan sebagainya. Kesemua logam berat ini memberi impak negatif kepada kesejahteraan alam sekitar sekiranya dibuang secara tidak terkawal.

Ramai antara kita adakalanya membuang e-Sisa ini di tapak pelupusan sampah atau tempat lain yang tidak sepatutnya dibuang.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertanggungjawab dalam seliaan bahan buangan berjadual ini dan tempat pengumpulannya ada dinyatakan dalam laman sesawangnya.

Dalam era digital ini, pastinya barangan elektronik dan elektrik begitu banyak digunakan seiring dengan peredaran zaman. Akan tetapi didikan awal kita hanya bertumpu kepada kitar semula sisa pepejal sedia ada.

E-sisa ini sebenarnya mampu dikitar semula. Logam-logam penting yang terdapat dalam komponen elektronik boleh diekstrak secara kimia dan diproses untuk kitar semula.

Bahan ini seterusnya boleh digunakan kembali untuk membuat alatan elektronik baharu di samping dapat menjaga kelestarian alam sekitar. Kempen dan pengenalan kepada e-Sisa amat penting dalam memberikan maklumat kepada orang ramai tentang bahaya kesan buruk dan cara pelupusannya yang perlu dikendalikan mengikut undang-undang.

Orang ramai perlu memberi kerjasama kepada JAS dalam sama-sama menguruskan e-Sisa domestik ini.

MOHAMMAD ABDULLAH
Universiti Teknologi Mara