Tanah perkuburan adalah tempat terakhir kita sebagai manusia akan jejaki setelah meninggal dunia atau ketika mengiring jenazah saudara-mara dan kenalan.

Penjagaan tanah perkuburan dibiarkan kepada individu
ter­tentu yang tidak dibayar gaji tinggi untuk menjaga kawasan yang luas.

Saya berpendapat, eloklah diadakan program khidmat masyarakat di tanah perkuburan kerana bukan sahaja boleh me­ngurangkan beban penjaga kubur malah dapat membuatkan peserta mengingati mati.

Aktiviti khidmat masyarakat akan memastikan tanah perkuburan tidak lagi dipenuhi dengan semak-samun dan menjadi tempat pembiakan ular serta nyamuk.

Program itu juga akan membolehkan aktiviti pengindahan tanah perkuburan dilakukan.

Apabila disebut pengindahan, sering kali terlintas dalam fikiran orang ramai adalah untuk membina ba­ngunan di atas tanah perkuburan yang disifatkan sesetengah pihak sebagai haram.

Sebenarnya, pengindahan yang dimaksudkan di sini adalah menanam tumbuh-tumbuhan dan pokok bunga untuk mencantikkan tanah perkuburan ber­kenaan.

Penanaman tumbuh-tumbuhan itu dapat menggantikan pokok asal di situ yang telah ditebang untuk dijadikan tanah perkuburan.

Saya berpendapat wajar dibina pondok-pondok kecil untuk diletakkan surah Yasin, payung dan kerusi bagi manfaat mereka yang menziarahi tanah perkuburan.

Jika tidak mampu untuk menyumbang wang bagi membina pondok-pondok kecil, orang ramai boleh menghulur duit bagi membeli surah Yasin dan payung.

Saya berharap persatuan penduduk dan syarikat swasta dapat menyumbangkan dana bagi membolehkan proses pengindahan tanah perkuburan dilaksanakan.

Jarang sekali kita lihat orang ramai menziarahi tanah perkuburan kecuali pada hari raya. Tabiat itu perlu diubah dan salah satu cara untuk menggalakkan orang ramai kerap melawat adalah menyediakan landskap yang indah.

Pengindahan tanah perkuburan dapat menarik orang ramai menziarahi kubur secara lebih kerap sekali gus membolehkan mereka sentiasa mengingati kematian.

Kematian adalah sesuatu yang pasti. Jadi tidak salah untuk semua pihak sentiasa mengingatinya bagi memastikan mereka tidak terlalu leka dengan urusan keduniaan.

HARIZ AMIRUL AIDI ROSLAN

Ahli Program Keterampilan dan Kepimpinan (GEL) Mara