Selain panggilan durian belanda, buah ini juga dikenali dengan nama ‘durian selat’ atau ‘durian sayur’ di Kelantan dan ‘durian Eropah’ di Langkawi.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh buah durian belanda ini termasuk mengandungi karbohidrat, fruktosa, amyloid, asid sitrik, manganese, sukrosa, reticuline, vitamin C, vitamin B1 dan vitamin B2.

Daripada beberapa kajian yang dibuat sebelum ini, setiap bahagian durian belanda didapati mempunyai kelebihan tersendiri. Daun durian belanda dapat membantu sakit kerongkong manakala akarnya dipercayai boleh membantu mengurangkan gejala kencing manis.

Minyak yang terhasil daripada daun atau buahnya yang masih muda sekiranya dicampurkan dengan minyak zaitun dapat digunakan untuk mengatasi masalah sakit sendi dan sengal-sengal badan.

Kulit pokok durian belanda dipercayai dapat membantu pesakit jantung, masalah batuk dan mungkin mengembalikan kesuburan pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

Selain itu, jus buah durian belanda kini banyak dijual dalam bentuk tin dan kotak. Jus yang dihasilkan daripada buah durian belanda boleh diminum untuk membantu meredakan demam, membunuh cacing (masalah kanak-kanak) dan sebagai ubat cirit birit.

Hasil penyelidikan ke atas pohon ajaib ini menunjukkan khasiat buah durian belanda secara ilmiahnya juga mempunyai potensi sebagai antara agen semula jadi untuk melawan kanser.

MUHAMMAD AMAR ADLIE

Rembau