Sesudah puas berusaha dan bergelut untuk lulus ujian kecergasan tahunan, mereka dimalukan pula oleh segelintir pengadil yang degil dan tidak mahu mendaftarkan diri dengan badan induk bola sepak negeri itu. Sesudah berjaya dalam ujian tersebut, mereka mengharapkan akan mendapat peluang dilantik mengadili mana-mana perlawanan bola sepak yang dianjurkan di bawah naungan KFA. Malangnya perkara itu tidak berlaku.

Serentak dengan penganjuran ujian kecergasan oleh Jawatankuasa Pengadil KFA itu, satu pertandingan bola sepak diadakan di kawasan tidak jauh dari Alor Setar iaitu pertandingan Futsal Piala Menteri Besar. Alangkah janggalnya bila Menteri Besar yang menjadi Presiden KFA boleh meluluskan dan hadir menyaksikan perlawanan futsal itu yang tentunya diadili oleh para pengadil yang tidak terlibat dengan Ujian Kecergasan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh beliau sendiri.

Tentulah para pengadil yang terlibat dengan ujian kecergasan ini terasa ke tulang hitam betapa mereka tidak dihargai sebaliknya diberi tugas kepada individu-individu yang ingkar, tidak mematuhi peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengadil KFA.

Sepatutnya Menteri Besar sebagai Presiden KFA hendaklah mengutamakan pengadil yang mengikuti ujian kecergasan ini yang diadakan bagi menilai tahap kecergasan pengadil KFA sendiri.

MADISYAK, Yan