Tabung Haji ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan beliau mengikuti perkembangan semasa berhubung permohonan kerajaan Malaysia untuk menambah jumlah kuota jemaah haji negara ini semasa lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, baru-baru ini.

Kelulusan menambah kuota haji Malaysia adalah menjadi keutamaan Tabung Haji, bagi membolehkan lebih ramai rakyat berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Untuk makluman semua, Tabung Haji menggunakan kaedah pemilihan bakal haji melalui sistem pendaftaran haji terbuka yang diamalkan sejak 1995 iaitu berdasarkan konsep yang mendaftar dahulu, didahulukan. Justeru, pemilihan bakal haji setiap tahun adalah berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran mereka.

Merujuk kepada cadangan beliau agar pemilihan bakal jemaah haji mengambil kira faktor umur dengan keutamaan diberikan kepada individu berusia, adalah dimaklumkan bahawa Tabung Haji memberi pertimbangan sewajarnya kepada bakal jemaah haji berusia 75 tahun ke atas untuk ke Tanah Suci lebih awal daripada giliran, jika ada kekosongan.

Pertimbangan itu diberikan hanya kepada mereka yang belum pernah menunaikan haji dan lulus pemeriksaan kesihatan yang disahkan oleh doktor ditauliahkan khas oleh Tabung Haji.

BAHAGIAN HAL EHWAL AWAM DAN KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN

Lembaga Tabung Haji

MAKLUM BALAS