Jika ditinjau di pasar raya-pasar raya, kita boleh lihat ‘kegilaan’ itu turut menular dalam kalangan golongan yang agak berusia, melepak di kedai kopi sambil melayan permainan video. Ada yang memperuntukkan tiga hingga empat jam dan tidak tidur sehingga pukul dua hingga tiga pagi semata-mata mahu menghabiskan permainan video masing-masing. Selepas satu permainan akan bersambung semula dengan permainan baharu dan begitulah rutin seharian dihabiskan.

Bagi golongan anak-anak, itulah dunia mereka hari ini, kemajuan teknologi masa kini begitu mempesonakan kita. Keasyikan tersebut pastinya mengundang perkara yang negatif jika tidak terkawal, iaitu anak-anak kehilangan fokus untuk mengulang kaji pelajaran bahkan kesihatan mereka juga akan terganggu.

Bagi yang dewasa, mereka mula melupakan tanggungjawab. Jika mereka merupakan seorang bapa atau suami pasti mula culas dengan hal-hal anak isteri, begitu juga si ibu atau isteri mula tidak menghiraukan makan pakai suami dan anak-anak.

Yalah, jika setiap malam tiga hingga empat jam dihabiskan untuk permainan video, bagaimana halnya dengan keadaan rumah tangga?

Jika dahulu, permainan Pokemon Go pernah menjadi kegilaan dunia serta rakyat negara ini sehingga menimbulkan pelbagai kesan negatif, kini pelbagai lagi permainan video kembali melekakan kita.

Tiada salahnya untuk menghiburkan diri dengan permainan-permainan tersebut, namun jika sudah menjadi ketagihan dan tidak terkawal, sesuatu perlu dilakukan bagi membendung keadaan tersebut.

IBU RESAH

Gombak, Selangor