Apatah lagi 5 Disember diisytiharkan sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan disambut di seluruh dunia. Ia bertujuan memberi pengiktirafan terhadap kerja-kerja kesukarelaan.

Sambutan Hari Sukarelawan diharapkan dapat meningkatkan lagi kefahaman masyarakat mengenai kepentingan sukarelawan sebagai penggerak dan rakan kongsi pembangunan negara yang sangat berkesan.

Kesukarelaan telah mengalami perkembangan tersendiri. Kini, ia menyerlah dalam pelbagai bentuk. Daripada kerja-kerja sukarela secara sendirian kepada berkumpulan. Daripada organisasi tidak formal kepada organisasi formal.

Daripada peringkat kampung ke peringkat nasional sehinggalah ke luar negara.

Walaubagaimanapun, kesukarelaan mungkin membawa makna berbeza kepada orang berbeza, kepada masyarakat berbeza dan kepada zaman berbeza. Ia amat dipengaruhi oleh sejarah, politik, ekonomi dan budaya sesuatu kawasan dan zaman.

Walaupun kerja-kerja kesukarelaan telah menjadi semakin kompleks, ia masih mengekalkan beberapa kunci utama yang membentuk ciri-ciri unik kesukarelaan.

Terdapat tiga ciri utama iaitu aktiviti kesukarelaan tidak dilakukan untuk mendapatkan balasan kewangan, kesukarelaan tersebut dilaksanakan secara ikhlas iaitu mengikut kerelaan si pelaku dan aktiviti tersebut mestilah mendatangkan manfaat kepada sesuatu kelompok masyarakat atau orang lain selain sukarelawan itu sendiri.

Namun, gerakan kesukarelaan adalah perkara utama dan pokok dalam membentuk kesejahteraan sosial masyarakat kerana ia mendatangkan manfaat yang signifikan terhadap sukarelawan itu sendiri yang akhirnya membentuk warga negara penyayang.

MUHAMMAD 
FADZLI HASAN
Timbalan Presiden 
Majlis Belia Malaysia