Berpandukan tema “Negara Wibawa, Ekonomi Dinamik Dan Rakyat Sejahtera”, kerajaan telah memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 yang akan bermula pada 1 Januari 2019.

Ia bertujuan memberikan perlindungan percuma membabitkan empat jenis penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari bersamaan RM700 setahun.

Kerajaan memperuntukkan RM29 bilion kepada sektor kesihatan dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding RM26.5 bilion dalam bajet tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah turut menyifatkan jumlah peruntukan tersebut adalah tertinggi pernah diterima Kementerian Kesihatan dalam sejarah belanjawan negara.

Beliau juga turut menyatakan bahawa dengan peningkatan peruntukan yang diterima, ia dapat membantu kementerian untuk lebih tertumpu kepada pencegahan berbanding penyembuhan dalam sektor penjagaan kesihatan.

Peruntukan ini adalah termasuk RM10.8 bilion bagi membaik pulih klinik dan hospital serta pembelian ubat-ubatan dan kelengkapan. Kerajaan juga akan mengekalkan program saringan percuma pengesanan kanser payu dara (mamogram), program vaksinasi human papilloma vitus (HPV) dan ujian saringan pap smear dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion yang akan memberikan manfaat kepada 70,000 wanita di Malaysia.

Jelaslah bahawa peruntukan yang disalurkan untuk sektor kesihatan adalah seiring dengan tema yang dibawa kerajaan iaitu demi kesejahteraan rakyat.

Kesihatan yang terjamin akan meningkatkan produktiviti seterusnya membantu negara mencapai status negara maju.

Peningkatan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan direkodkan berikutan tindakan kerajaan mementingkan penjagaan kesihatan rakyatnya.

SYAFIQAH ISMAIL

Pelajar USIM