Kerajaan terdahulu mungkin tidak memperkasakan bahasa Melayu dan membiarkan sahaja penggunaan bahasa Inggeris dan Mandarin berleluasa dalam semua urusan tetapi paling terjejas adalah pengabaian tulisan Jawi sehingga dilupakan majoriti anak Melayu dan ada yang langsung tidak mengetahui akan kewujudannya.

Generasi muda sampaikan menganggap tulisan Jawi sebagai bahasa Arab dan tidak sedar kewujudan tulisan itu sebenarnya penghubung antara semua orang Melayu di negara ini.

Lihat kembali bagaimana bahasa Mandarin dan Tamil menjadi pengikat antara komuniti kaum tersebut, memberikan satu platform perhubungan khas untuk ‘orang mereka’ sahaja khususnya dalam menyampaikan maklumat dan menggerakkan agenda perjuangan bangsa.

Tanpa tulisan Jawi, orang Melayu umpama ‘mat saleh’ yang terpinga-pinga bila orang lain bertutur atau menulis dalam bahasa ibunda mereka sehingga timbul prasangka dan rasa tidak sedap hati.

Jika orang Melayu khususnya pemimpin politik Melayu memelihara tulisan Jawi, orang Melayu tidak perlu gentar dengan penggunaan bahasa vernakular kerana kaum sendiri mempunyai platform ‘perhubungan rahsia’.

Kini yang tinggal cuma kiasan, peribahasa dan bahasa tersirat untuk menyampaikan sesuatu perkara bagi telinga orang Melayu dan pribumi sahaja, maka tidak boleh dipersalahkan orang bukan Melayu ‘meneruskan legasi’ mengabaikan bahasa kebangsaan.

Ajarlah anak-anak tulisan Jawi supaya kelak mereka bukan sahaja faham identiti bangsa tetapi tidak gentar dengan penggunaan mana-mana bahasa lain dalam apa jua keadaan.

GURU KAFA

TSG, Selangor