Baru-baru ini, seorang saintis telah menerbitkan hasil kajiannya tentang kesan positif dan negatif permainan video dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Ketahuilah semua kes tersebut adalah disebabkan kerana ketagihan terhadap permainan video.

Permainan video jika berjaya dikawal, sebenarnya boleh memberikan beberapa kebaikan kepada manusia.

Berikut adalah antara beberapa kajian sains yang membuktikan permainan video juga mempunyai kesan positif ke atas manusia.

Antara kesan positif bermain permainan video ialah dapat meningkatkan ‘mood’ gembira dan mengurangkan sifat hiperaktif kanak-kanak.

Dalam kajian oleh Dr. Andrew Przybylski dari Universiti Oxford terhadap 5,000 kanak-kanak, mendapati mereka yang bermain permainan video sekurang-kurangnya selama satu jam didapati lebih gembira, kurang hiperaktif dan lebih mudah bergaul dengan orang di sekeliling jika dibandingkan dengan mereka yang langsung tidak bermain permainan video.

Selain itu, permainan video dapat membuatkan seseorang berfikir dan membuat keputusan. Setiap permainan video yang dimainkan perlu mempunyai strategi seterusnya melatih mereka lebih cekap dan cepat membuat keputusan.

Hal ini ada kaitannya dengan saraf yang terdapat dalam otak manusia. Sekumpulan pengkaji dari University Rochester, New York yang diketuai Professor Daphne Bavelier telah menjalankan satu kajian untuk mengkaji adaptasi sistem saraf kepada beberapa jenis permainan video.

Contoh responden kajian terhadap mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun telah diminta untuk bermain permainan video selama satu jam. Peserta tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan permainan video Call of Duty berkeupayaan membuat keputusan 25 peratus lebih pantas berbanding kumpulan yang diminta untuk bermain permainan yang berentak perlahan seperti The Sim 2.

Di samping itu, bermain lebih banyak ‘permainan sosial’ dapat membuka ruang kepada aktiviti bersosial sesama pemain dari pelbagai negara serta menunjukkan perubahan sikap tolong-menolong ketika di alam persekolahan selain dapat membina ketabahan dalam kalangan pelajar.

Bermain permainan video dapat meningkatkan semangat kerjasama berpasukan antara satu sama lain. Contoh permainan video yang dapat membina semangat kerjasama seperti Mobile Lagend dan Counter Strike.

Permainan video sebegini melatih untuk tidak berputus asa dan semangat untuk memperoleh kejayaan sesama pemain. Tambahan lagi, bermain permainan video dapat mengurangkan tekanan atau stres.

Satu kajian di Universiti Texas yang dijalankan oleh profesor Dr. Christopher J. Ferguson menunjukkan orang lelaki dan wanita yang suka bermain permainan video dalam jangka masa lama dilihat mempunyai kemahiran mental lebih baik mengendalikan stres, tidak murung dan tidak cepat marah.

NIK AHMAD HAFIZ NIK AHMAD SUFFIAN

Bandar Baru Nilai