Menurut pakar, paling membimbangkan iaitu acrylonitrile yang apabila terdedah melebihi 85 ppm boleh membahayakan nyawa. Kesannya akan mengakibatkan mangsa berasa pening kepala, muntah, sesak nafas, lemah anggota badan, sawan dan pengsan.

Kandungan gas metana yang terlalu tinggi pula dan kandungan gas oksigen kurang 15 peratus dalam ruangan udara boleh membawa maut kepada orang awam. Selain itu, xylene memberi kesan kepada orang awam sekiranya pendedahan pada ruang udara adalah 100 ppm.

Belum pun reda kes di Pasir Gudang, kini tular pula kes pencemaran sisa buangan bahan kimia di Sungai Klang, Selangor. Keputusan sisa bahan kimia di sungai tersebut masih dalam siasatan. Kejadian seumpama ini merupakan situasi yang amat membimbangkan sekali gus membuktikan sikap sesetengah masyarakat tentang kesedaran sivik pembuangan sampah kian tenat.

Kesan pencemaran sisa toksik yang terdedah ini memberikan kesan jangka panjang kepada kesihatan dan menimbulkan trauma dalam kalangan orang awam. Sebagai salah seorang penduduk, saya berpendapat, pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah dan tidak berfikir tentang impak daripada perlakuan mereka. Ia sama sekali tidak melambangkan masyarakat majmuk dan harmoni. Persoalannya, layakkah kita digelar masyarakat negara membangun sekiranya sikap seumpama ini masih berterusan dalam kalangan kita?

AINAA MAYA MUNIRA ISMAIL
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang.