MINAT rakyat Malaysia untuk membeli-belah dalam talian boleh
MINAT rakyat Malaysia untuk membeli-belah dalam talian boleh menjejaskan alam sekitar. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN

WUJUD trend terkini dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membeli-belah dalam talian kerana kaedah itu membolehkan mereka mendapatkan barangan yang diinginkan tanpa perlu ke pasar raya.

Namun, tanpa kita sedari tabiat terbaharu itu boleh menjejaskan alam sekitar. Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Alam Sekitar Jerman, Barbara Hendricks yang pernah membuat kenyataan dalam akhbar negara berkenaan dengan menegaskan beliau enggan membeli apa-apa barangan menerusi internet kerana langkah itu akan menyebabkan sisa bungkusan barangan menjadi terlalu banyak.

Semakin banyak barangan yang dipesan dalam talian, semakin banyak bungkusan menjadi bahan buangan. Ini berlaku apabila pengguna ingin barangan yang diterima mereka berada dalam keadaan cantik dan selamat. Maka pembungkusan secara berlebihan telah dilakukan oleh peniaga.

Selain itu, pelepasan asap kenderaan yang menyumbang kepada pemanasan global juga semakin banyak apabila barangan yang dipesan dihantar secara terus kepada pengguna. Trend membeli-belah dalam talian yang semakin meningkat akan menyebabkan syarikat penghantaran perlu menambah jumlah kenderaan bagi membolehkan barangan dihantar dengan cepat dan pada jarak lebih jauh.

Seperti yang kita tahu, pengguna dan peniaga dalam talian ini adalah terdiri dalam kalangan kita sendiri. Maka, kita harus memelihara alam sekitar dan tidak melihat aspek keuntungan semata-mata. Sebagai pengguna, antara cara yang boleh dipraktikkan bermula dari rumah adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Amalan memasak, menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan sendiri dapat membantu pengguna mengurangkan pembelian dalam talian yang kebanyakan melibatkan barangan sejuk beku dan yang sudah siap diproses. Ini juga dapat mengelakkan pengguna membeli makanan sejuk beku yang menggunakan 10 kali ganda lebih tenaga untuk dihasilkan.

Sekiranya pengguna ingin membeli dalam talian, barangan buatan Malaysia perlu diutamakan kerana langkah itu mampu menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang dikeluarkan kenderaan semasa proses penghantaran terutama yang melibatkan kapal dan kapal terbang.

Sebagai peniaga pula, kita boleh menggunakan bahan kitar semula bagi membungkus barangan. Adalah lebih baik peniaga menggalakkan pengguna membuat pembelian barang secara pukal bagi mengelak syarikat penghantaran terpaksa berulang-alik menghantar barangan.

Penjagaan alam sekitar yang lestari memerlukan kesedaran daripada semua pihak termasuk diri kita sendiri. Tidak perlulah kita menuding jari mencari kesalahan pihak lain sekiranya diri sendiri tidak mampu mempraktikkan amalan mudah bagi menjaga alam sekitar.

Sudah tiba masanya kita sebagai penghuni bumi mengubah sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar supaya alam semula jadi yang ada sekarang dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

NURNAZURAH NAZARALY

Universiti Kebangsaan 
Malaysia (UKM)