Bagaikan Malaysia tiada undang-undang dan tidak wujud Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya cukup kesal dengan sikap pemilik kenderaan yang sesuka hati mengubah suai ekzos bagi mengeluarkan bunyi kuat tanpa mengira kesannya kepada orang ramai di sekeliling mereka.

Sengaja menekan minyak sehingga mengeluarkan bunyi kuat apabila kenderaan melintasi orang awam dan hadapan rumah penduduk. Walaupun sudah banyak kali saya membuat aduan kepada JPJ dan PDRM di peringkat daerah dan negeri, sehingga kini tiada apa-apa tindakan yang telah diambil.

Kehidupan kami sekarang dicemari bunyi bising yang amat menyeksakan. Kepada siapa lagi kami harus mengadu?

MANUSIA KECEWA

Baling, Kedah