Terbaharu, perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu turut disertai penyokong golongan lesbian, gay, bisek­sual dan transgender (LGBT).

Antara perkara yang dituntut kumpulan berkenaan pada perhimpunan itu adalah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan menuntut kesaksamaan jantina.

Sebilangan peserta turut melaungkan slogan seperti Hidup LGBT dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu. Justeru, isu ini tidak boleh dipandang kecil.

Pertama, tidak perlu sebenarnya perhimpunan sebegitu diadakan, di mana wanita di Malaysia tidak ditindas. Jika diteliti, dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan sebenarnya mengangkat golongan wanita itu sendiri.

Sebagai contoh, kerajaan menyarankan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ahli lembaga pengarah di sesuatu agensi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta, harus dianggotai oleh wanita.

Kita juga dapat lihat ada ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat di Malaysia dan usahawan muda berjaya adalah daripada golongan wanita. Adakah wanita ditindas di Malaysia?

Kedua, tidak perlu sebenarnya perhimpunan sebegitu diadakan, jika mereka faham peranan wanita itu sendiri. Mereka seharusnya sedar bahawa golongan lelaki dan wanita dijadikan oleh Tuhan dengan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Itu fakta.

Sebagai contoh, lelaki mempunyai kekuatan fizikal yang lebih berbanding wanita. Wanita pula mempunyai kelebihan kekuatan emosi yang lebih berbanding lelaki. Jika mereka faham peranan wanita itu sendiri, mereka tidak akan terpekik-pekik memperjuangkan kesaksamaan antara jantina, yang sememangnya tidak akan sama.

Lelaki dan perempuan adalah berlainan. Seharusnya, kelebihan dan kekurangan kedua-dua belah pihak menjadi pelengkap kepada kehidupan.

Ketiga, laungan LGBT pada perhimpunan tersebut adalah petanda bahawa golongan liberal mula mendapat tempat di Malaysia. Adakah memperjuangkan kesaksamaan jantina itu sebagai pencetus kepada idealisme bahawa lelaki itu sama seperti perempuan, maka hubungan sejenis, seperti gay dan lesbian, perlu diiktiraf?

Pada masa yang sama, pihak kerajaan kita lihat masih tidak tegas dalam mengambil tindakan dan pelan pencegahan idealisme liberal sebegini. rahmatan lil alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam) mempunyai batasannya. Rahmat Allah tidak akan turun kepada kaum yang ingkar kepada-Nya, tetapi yang ditakuti adalah bala pula akan menimpa kita, seperti mana yang tercatat di dalam al-Quran berkenaan kisah kaum Nabi Luth.

Dewan Pemuda Ikatan ingin menyatakan secara tegas bahawa perhimpunan yang berlangsung tempoh hari tidak patut diadakan. LGBT bukan sahaja ditolak oleh agama Islam, malah kesemua agama termasuklah Kristian dan sebagainya.

Kesucian perkahwinan adalah antara lelaki dan perempuan. Oleh itu, pihak kami menuntut tindakan tegas diambil kepada pihak penganjur program perhimpunan tersebut. Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN

Ketua Pemuda Ikatan